top of page

SPAN potong bekalan air tidak sah di tapak pembangunan


JENGKAUT digunakan bagi mengesan sambungan bekalan air tidak sah di sebuah tapak projek pembangunan di Kuala Lumpur. - FOTO SPAN

CYBERJAYA : Tindakan licik sebuah syarikat kontraktor ‘mencuri’ bekalan air terawat milik Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) berakhir apabila diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), semalam.


SPAN menerusi kenyataan berkata, aktiviti itu dikesan di sebuah tapak projek pembangunan di Kuala Lumpur melalui serbuan hasil risikan Unit Penguatkuasaan Air Selangor dan Bahagian Penguatkuasaan SPAN.


Katanya, hasil siasatan di tapak berkenaan menemui dua sambungan paip secara terus dari paip utama Air Selangor dengan menggunakan paip HDPE berukuran 25mm.


“Siasatan mendapati, bekalan air itu disyaki digunakan bagi tujuan tapak pembinaan dan penggunaan harian pekerja.


“Tindakan pemotongan bekalan air dilakukan serta-merta dan kontraktor tapak pembinaan yang bertanggungjawab dipanggil untuk memberi keterangan dan berdepan tindakan perundangan,” katanya dalam kenyataan semalam.


Katanya, penyambungan bekalan air secara tidak sah boleh disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 [Akta 655] yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.


SPAN berkata, pihaknya sentiasa komited menjalin kerjasama berterusan bersama operator bekalan air bagi mencegah aktiviti penyambungan bekalan air menyalahi undang-undang yang menjadi penyumbang kepada kadar Air Tidak Terhasil (Non- Revenue Water).


Sebarang aduan atau maklumat berkenaan penyambungan bekalan air secara menyalahi undang-undang boleh disalurkan melalui WhatsApp ke nombor 0133885000 atau e-mel ke alamat aduan@span.gov.my.


26 views
bottom of page