KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd kembali mencatat keuntungan dengan keuntungan bersih sebanyak RM284.36 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding kerugian bersih sebanyak RM320.75 juta pada tahun kewangan 2020.
Perolehan meningkat kepada RM3.76 bilion daripada RM3.23 bilion sebelum ini, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
"Wilayah Tengah kumpulan menyumbang jualan tertinggi sebanyak RM2.92 bilion, diikuti RM556 juta dari wilayah Selatan manakala wilayah antarabangsa secara kolektif mencatatkan RM762 juta," katanya.
Pada suku keempat tahun kewangan 2021 (suku keempat tahun kewangan 2021), keuntungan bersihnya mencatatkan lebih dua kali ganda kepada RM123.31 juta daripada RM56.50 juta pada suku keempat tahun kewangan 2020.
Bagaimanapun, perolehan merosot kepada RM1.03 bilion daripada RM1.11 bilion sebelum ini.
Syarikat mengisytiharkan dividen biasa akhir sebanyak 0.65 sen sesaham dan dividen keutamaan, masing-masing sebanyak 6.49 peratus dan 5.93 peratus setahun, untuk Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Islam A dan B untuk tempoh kewangan tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai, berkata melangkah ke 2022, SP Setia menjangka pemulihan dalam ekonomi Malaysia secara berperingkat, disokong oleh peningkatan yang berterusan dalam permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta lebih tinggi.
Inflasi keseluruhan dijangka meningkat sedikit berikutan gangguan disebabkan rantaian bekalan global.
Bagaimanapun, peningkatan dalam pendapatan keseluruhan, keadaan pekerjaan dan sentimen pengguna dijangka meningkatkan perbelanjaan isi rumah yang memberi prospek baik kepada sektor hartanah.
"Berdasarkan sentimen positif ini, kami menetapkan sasaran jualan untuk tahun kewangan 2022 sebanyak RM4 bilion dan berhasrat untuk melancarkan produk baharu bernilai RM4 bilion yang memberi tumpuan terutama kepada projek kediaman bertanah," katanya dalam kenyataan.
Projek kediaman bertanah baharu itu terletak di Setia Alam, Setia Eco Glades, Setia Safiro, Setia Alam Impian, Bandar Kinrara, Setia Bayuemas, Setia Ecohill dan Ecohill 2, Setia Eco Park dan Setia Warisan Tropika di wilayah Tengah; Setia Indah, Taman Rinting dan Taman Pelangi Indah di wilayah Selatan dan Setia Fontaines di wilayah Utara.
Sehingga akhir 2021, SP Setia mempunyai 48 projek yang sedang dijalankan dan baki simpanan tanah sebanyak 2,928.71 hektar dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM122.4 bilion. -BERNAMA
Sumber: Berita Harian
Comments