top of page

SOP untuk kerja pembinaan


PEKERJA pembinaan meneruskan kerja selepas kerajaan membenarkan sebahagian sektor beroperasi ketika PKP fasa ketiga. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

KERAJAAN memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) kepada sektor pembinaan bagi membolehkan ia beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Menteri Kanan (Kerja Raya) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia untuk mengimbangi antara ekonomi negara dan kehidupan masyarakat.


Katanya, ia termasuklah SOP di tapak pembinaan, pergerakan pekerja dan tempat tinggal pekerja yang disediakan majikan supaya mereka dapat memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal.


“Banyak perbincangan dijalankan, kita sudah bangunkan SOP asas yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan SOP pembinaan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).


“Setakat ini yang memohon sebanyak 19,000, yang lulus 1,856 dan ada 8,000 lagi dalam penilaian,” katanya pada sidang media hari ini.


Fadilah berkata, tidak semua pembinaan yang akan diluluskan supaya ia dapat mengimbangi beberapa kerja berkaitan.


“Misalnya kita benarkan jika membabitkan kurang pekerja, contohnya Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang pekerjanya 70 orang ke atas, kerja yang siap 90 peratus dan hanya tinggal 10 peratus dan kerja kecil kontraktor G1 dan G2.


“Kita juga benarkan kerja kritikal termasuk penyelenggaraan bangunan dan bersihkan kawasan pembinaan dan benarkan profesional untuk terbabit bersama untuk sempurnakan projek,” katanya.


Katanya, mereka yang terbabit boleh memohon kepada MITI menerusi dalam talian dan ia akan dihantar kepada CIDB untuk diluluskan.


Menurutnya, 8,000 pegawai Kementerian Kerja Raya akan terbabit dalam pemantauan dan penguatkuasaan SOP itu.


Katanya, mereka yang ingkar dan menyalahi peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).


“Mereka juga boleh dikenakan senarai hitam oleh CIDB dan Pihak Berkuasa Tempatan juga boleh mengambil tindakan di bawah kuasa mereka kalau melanggar syarat,” katanya.


Sumber: Harian Metro


11 views
bottom of page