Solarvest firma solar tunggal masuk Bursa


KUALA LUMPUR: Solarvest Holdings Bhd (Solarvest), menyasar meraih modal sehingga RM34.6 juta menerusi pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) untuk disenaraikan dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada November ini.


Penyenaraian syarikat kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan dalam industri solar panel itu bakal menjadi peserta industri pertama disenaraikan di pasaran awam membabitkan penawaran 98.828 juta saham baharu yang ditawarkan pada harga 35 sen sesaham.


Daripada jumlah itu, kira-kira 19.53 juta adalah saham baharu ditawarkan kepada umum, 19.53 juta saham lagi ditawarkan kepada pengarah, pekerja dan pihak individu, 39.06 juta saham diperuntukkan untuk pelabur Bumiputra yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan 20.7 juta saham untuk pelabur terpilih.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Davis Chong Chun Shiong, berkata sebahagian besar dana yang dijana IPO itu iaitu RM19.2 juta atau 55.5 peratus daripada akan digunakan sebagai modal kerja bagi operasi harian dan projek masa hadapan.


Manakala, katanya, sebanyak RM3 juta atau 8.7 peratus akan digunakan sebagai modal pengembangan perniagaan di pasaran domestik dan antarabangsa, dan sebanyak RM4 juta lagi akan diperuntukkan sebagai perbelanjaan modal meningkatkan keupayaan teknikal kumpulan.


“Menjelang penyenaraian di pasaran ACE kelak, Solarvest akan disenaraikan dengan permodalan pasaran RM135.7 juta berdasarkan harga tawaran 35 sen sesaham.


“Kumpulan memiliki prospek cerah berdasarkan lonjakan pertumbuhan industri solar negara terutama dalam segmen janakuasa solar berskala besar (LSSPV),” katanya kepada media dalam satu sidang media pelancaran prospektus di sini, hari ini.


Majlis pelancaran prospektus disempurnakan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.


Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum pengembangan ke luar negara, Solarvest akan menumpukan kepada pasaran domestik bagi menyiapkan tempahan kontrak kumpulan kini yang mencecah RM200 juta.


Katanya, jumlah tempahan kontrak itu sudah pun melangkaui 1.7 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatannya kini dan akan menyokong pendapatan kumpulan untuk tempoh sehingga 12 bulan.


“Kumpulan merancang untuk mengembangkan lagi kehadiran kami di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.


“Pada masa yang sama kami meninjau dan mengadakan rundingan dengan pihak berpotensi di Vietnam dan Taiwan untuk perluasan kumpulan pada masa depan,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #solar

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.