SME Bank sedia RM1 bilion untuk kontraktor ECRL tempatan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: SME Bank menyediakan pembiayaan sehingga RM1 bilion khusus untuk subkontraktor tempatan yang dilantik untuk kerja sivil Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata SME Bank menjadi salah satu pemain utama yang menyalurkan pembiayaan bagi projek itu.


Beliau berkata, setiap kontraktor yang layak akan mempunyai akses pembiayaan sehingga RM50 juta.


Katanya, sebarang jumlah melepasi had RM50 juta akan dinilai mengikut kes.


"Proses pra-kelayakan untuk kerja sivil ECRL bagi kontraktor tempatan yang layak dijalankan pada Mei 2019, telah menyenaraikan 331 syarikat pembinaan tempatan sebagai penender berpotensi. 


"Dari jumlah itu, 234 syarikat atau 71 peratus adalah syarikat Bumiputera," katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL).


Hadir sama,  Duta China, Bai Tian, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Pengerusi SME Bank, Datuk Seri Nazir Ariff,  Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.


Sementara itu, dalam ucapan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof yang dibacakan oleh Wan Suraya, berkata tempoh pembiayaan akan berbeza-beza mengikut tempoh kontrak yang diberikan.


Beliau berkata, kemudahan pembiayaan itu boleh digunakan untuk pembiayaan kontrak, modal kerja dan pembelian peralatan.


Sementara itu, Darwis berkata, MoU yang menyediakan penyelesaian akses kepada kewangan untuk 40 peratus subkontraktor tempatan yang terbabit dalam projek ECRL itu akan membantu mempercepatkan kerja sivil bagi projek infrastruktur kereta api sepanjang 640 kilometer dari Kota Bharu ke Pelabuhan Klang.


Beliau berkata, kerjasama SME Bank-MRL-CCC- ECRL adalah tepat pada masanya kerana penganugerahan awal bagi pakej kerja sivil ECRL kepada subkontraktor tempatan telah berjalan secara berperingkat bagi kerja awal dan terowong di jajaran Dungun-Mentakab.


"Lebih cepat syarikat pembinaan tempatan menyertai kerja-kerja sivil untuk projek ECRL, lebih pantas projek ini menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan dan bahan binaan serta industri rel negara," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #ECRL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.