Singapura minat sambung bina laluan pejalan kaki berbumbung


Gambar: Astro Awani

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Singapura berminat menyambung pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor yang dicadangkan Malaysia bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan orang ramai di laluan itu.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mohd Solihan Badri berkata, hasrat itu disampaikan kepada beliau menerusi Konsul Jeneral Singapura di Johor Bahru, dua bulan lalu.


"Pertamanya, cadangan pembinaan laluan pejalan kaki sejauh 350 meter ini kita (Johor) sudah kemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan bajet.


"Pembinaan ini membabitkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kerja Raya oleh kerana Tambak Johor diselenggara oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.


"Kedua, cadangan ini disambut baik oleh Singapura menerusi Konsul Jeneral di Johor Bahru yang berjumpa saya dan meminta kertas cadangan rekaan untuk pihaknya memberikan cadangan kepada kerajaannya untuk menyambung laluan tersebut," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.


Katanya, hasrat kerajaan Singapura itu menunjukkan bahawa republik berkenaan turut prihatin terhadap nasib pengguna jalan kaki di Tambak Johor yang dianggar digunakan ratusan pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19, dikuatkuasakan Mac lalu.


Pada peringkat awal, Mohd Solihan berkata, kerajaan Johor memohon peruntukan RM15 juta bagi laluan pejalan kaki sahaja, namun ia ditingkatkan menjadi RM30 juta awal tahun ini selepas reka bentuk semula dilakukan dengan penambahan eskalator serta laluan berbumbung dilengkapi pendingin hawa.


"Jarak 350 meter ini adalah sehingga sebelum sempadan Singapura, namun untuk pihak Singapura pula, saya tidak pasti dari mana sampai ke mana jaraknya. Untuk laluan bahagian kita, kos pembinaan adalah melalui Kementerian Kewangan dan pelaksanaannya oleh Kementerian Kerja Raya," katanya.


Katanya, pejalan kaki sememangnya dilarang di Tambak Johor, namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa setakat ini. - BERNAMA


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Singapura #Johor

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.