top of page

Sindiket pecah masuk tapak pembinaan tumpas


Antara barangan yang dirampas polis dalam serbuan terbabit.

PETALING JAYA – Lima lelaki warga tempatan dipercayai ahli sindiket pecah masuk tapak pembinaan diberkas di sebuah stor berhampiran hentian rehat dan rawat (R&R) Kundang, Lebuh Raya Latar semalam.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 48 tahun.


“Pada Khamis lalu, kita telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang pengurus tapak pembinaan yang berusia 33 tahun memaklumkan telah berlaku kecurian membabitkan peralatan milik syarikat yang dianggarkan bernilai RM50,000.


“Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi di mana pengadu menyedari pintu pagar telah terbuka dan terdapat kesan umpil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Jelasnya, bertindak atas maklumat, polis telah melakukan serbuan di sebuah stor berhampiran kawasan R&R berkenaan pada pukul 6.30 petang.


“Serbuan tersebut telah membawa kepada penahanan lima lelaki dan semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.


“Polis turut berjaya menemui semula barangan milik syarikat pengadu dan merampas beberapa peralatan serta kenderaan dalam kes berlainan,” jelasnya.


Tambahnya, sindiket tersebut aktif dalam kegiatan mencuri di tapak-tapak pembinaan di sekitar kawasan Rawang dan menjadikan stor berkenaan sebagai tempat menyimpan peralatan yang dicuri.


“Kita percaya dengan tertangkapnya ahli sindiket ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes kecurian di sekitar Rawang dan Puchong.


“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Sumber: Kosmo!

190 views

Comments


bottom of page