top of page

Sime Darby rancang jual perniagaan bukan teras



PETALING JAYA: Sime Darby Bhd sedang menyusun semula strategi dengan meninjau peluang untuk melupuskan perniagaan bukan terasnya, termasuk Tesco.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata kumpulan akan terus meneliti jika ada peluang berpotensi untuk melupuskan perniagaan bukan terasnya bagi membolehkannya menumpukan kepada perniagaan teras iaitu industri, permotoran, logistik dan penjagaan kesihatan.


“Perniagaan bukan teras jika tidak berpotensi akan dilupuskan. Ini bagi menjana semula kewangan kumpulan dan dapat disalurkan kembali kepada pemegang saham.


“Seperti yang sedang berjalan ketika ini adalah (proses) melupuskan perniagaan bukan teras kami dalam segmen peruncitan iaitu Tesco.



“Perkara itu sedang berjalan dan proses penjualan itu akan dimuktamadkan dalam tempoh yang akan ditentukan kelak,” katanya selepas mengumumkan laporan separuh pertama bagi tahun kewangan 2020 di sini, hari ini.


Sime Darby ketika ini memegang 30 kepentingan dalam Tesco Stores (M) Sdn Bhd, manakala baki 70 peratus dipegang oleh peruncit terbesar Britain, Tesco Plc.


Tesco Malaysia ketika ini memiliki 60 pasar raya, sebuah ibu pejabat dan dua pusat pengedaran dengan keseluruhan kakitangan mencecah 7,000 orang.


Tesco Plc yang tersenarai di Bursa Saham London mengesahkan laporan ia sedang memulakan semakan semula ke atas perniagaannya di Asia.


Sementara itu, Jeffri berkata, tempahan kontrak dijangka terus mencatatkan peningkatan positif didorong terutamanya oleh perniagaannya di Australia, termasuk sektor perlombongan dan pembinaan.


Beliau berkata, pertumbuhan dalam industri perlombongan di rantau Asia Pasifik menggalakkan permintaan bagi peralatan perlombongan.


Katanya, tempahan kontrak sehingga 31 Disember 2019 lalu adalah sebanyak RM2.868 bilion berbanding RM2.486 bilion pada 30 September 2019.


“Projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka bakal menyokong sektor pembinaan begitu juga dengan beberapa projek mega lain di Malaysia seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa 2 (MRT2) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).


“Begitu juga operasi kami di negara lain seperti China, Asia dan Australasia. Namun, syarikat masih di tahap berjaga-jaga mengenai prospek bagi setengah tahun kedua berikutan penularan wabak COVID-19,” katanya.


Sime Darby mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM282 juta dalam suku kedua berakhir 31 Disember 2019 berbanding RM317 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.


Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM10.21 bilion daripada RM9.42 bilion yang drekodkan sebelum ini.


Penurunan sebanyak 11 peratus dalam keuntungan bersih disebabkan oleh pengiktirafan kredit cukai tertunda sebanyak RM129 juta yang terhasil daripada perubahan kadar cukai keuntungan harta tanah (CKHT) di Malaysia dalam tempoh yang sama sebelumnya.


Bahagian industri mencatatkan peningkatan sebanyak 49.5 peratus kepada RM287 juta pada suku semasa berikutan penambahan hasil daripada Australasia dan China.


Sementara itu, bahagian permotoran menyaksikan keuntungan meningkat 5.9 peratus kepada RM143 juta selepas disokong oleh peningkatan keuntungan yang ketara di China.



13 views
bottom of page