top of page

Siasatan jejambat LRT rosak ambil masa dua minggu


Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, Kuala Lumpur
Suasana di stesen LRT Laluan Ampang di Stesen Hang Tuah bagi pertukaran ke Stesen Bandaraya, sesak berikutan gangguan perkhidmatan disebabkan penjajaran landasan bengkok. - Foto fail BERNAMA

Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Siasatan kerosakan struktur jejambat yang menyebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandaraya, di sini, dijangka mengambil masa sehingga dua minggu.


Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan menyebut, siasatan secara menyeluruh kini sedang dijalankan ke atas kerosakan struktur 'viaduct' dan 'pier' yang retak bagi mengenal pasti punca kerosakan.


"Sebuah syarikat perunding kejuruteraan yang berpengalaman dilantik untuk menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kerosakan dan siasatan ini mengambil kira semua kemungkinan.


"Ini perlu bagi menentukan pelan tindakan rektifikasi yang akan diambil. Siasatan ini dijangka akan selesai dalam masa dua minggu.


"Ia mengambil masa kerana perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati atas faktor keselamatan serta mengambil kira lokasi struktur itu sendiri," menurut kenyataan itu.


Tambah Rapid Rail, satu jawatankuasa khas juga dibentuk bagi memantau proses siasatan terbabit.


Ia membabitkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan agensi kerajaan iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).


Katanya, hasil siasatan akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan.


"Prasarana dan Rapid Rail selaku operator perkhidmatan LRT sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan di antara dua stesen iaitu stesen LRT Bandaraya dan stesen LRT Masjid Jamek seperti sedia kala, secepat mungkin.


"Namun, perlu ditekankan bahawa keselamatan penumpang dan kestabilan operasi adalah keutamaan.


"Kami mengambil maklum kesukaran yang dihadapi oleh penumpang dan memohon maaf atas segala kesulitan," katanya.


Isnin lalu, perkhidmatan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling mengalami kelewatan disebabkan penjajaran landasan bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.


Rapid Rail menerusi kenyataan menyebut, pemerhatian awal mendapati kerosakan struktur jejambat berpunca daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.


Sumber: Berita Harian

7 views

Kommentarer


bottom of page