Siasat projek marina Pulau Mentagor - PAC


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta Kementerian Pengangkutan menyiasat syarikat YTL Corporation Bhd (YTL) yang terbabit dalam projek pembinaan marina awam di Pulau Mentagor, Perak.


Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata marina awam yang dibina di pulau tidak berpenghuni itu dipercayai tidak pernah beroperasi atau digunakan selepas dibangunkan.


“PAC memandang berat kes marina awam Pulau Mentagor.


“Projek ini sepatutnya dibina di Lumut, Perak namun selepas cadangan syarikat YTL, ia dipindahkan ke Pulau Mentagor.


“Projek ini diberi kepada YTL secara rundingan terus bernilai RM24.27 juta tetapi marina awam ini tidak pernah beroperasi dan tidak pernah digunakan langsung kerana YTL tidak berminat lagi membangunkan pulau tidak berpenghuni ini.


“PAC turut mengesyorkan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri (JPM) mempercepatkan proses pelawaan memberi cadangan (RFP) membabitkan kajian kemungkinan terhadap projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Keputusan itu dibuat susulan hasil penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Ogos 2018 dalam aspek Pengurusan Marina Awam oleh Jabatan Laut Malaysia dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) di bawah Kementerian Pengangkutan.


PAC memulakan prosiding isu terbabit pada 13 November 2018 dengan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripudin Kassim, bagi menjelaskan beberapa isu berbangkit dalam laporan audit berkenaan.


Bagaimanapun, jawatankuasa tidak mendapat penjelasan sepenuhnya daripada Saripudin berhubung isu kajian kemungkinan projek marina awam, terutama ketika ia belum dimulakan berikutan di luar bidang serta tanggungjawab Kementerian Pengangkutan.


Berikutan itu, PAC memutuskan untuk memanggil Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam prosiding pada 27 November 2018.


Dalam kedua-dua prosiding itu, isu yang dibangkitkan adalah mengenai Marina Awam Muar, Johor; Marina Awam Pulau Mentagor, Perak; Marina Awam Tanjung City Marina, Pulau Pinang dan Marina Awam Melaka.


Ia termasuk aspek kajian kemungkinan, kerjasama antara agensi dan hala tuju pengurusan marina awam.


Kiandee berkata, PAC merumuskan kelemahan dalam pembangunan dan pengurusan marina awam berpunca daripada ketiadaan kajian kemungkinan terperinci sebelum projek dilaksanakan.


Katanya, objektif pembangunan marina awam ialah menyediakan kemudahan

infrastruktur bagi pendaratan kapal rekreasi di seluruh negara bagi menggalakkan aktiviti pelayaran dan pelancongan marin.


“Bagaimanapun, ia gagal mencapai objektif. Daripada 11 marina awam yang dibina, hanya lima masih beroperasi tetapi gagal menggalakkan industri kapal layar dan pelancongan marin,” katanya.


Beliau berkata, PAC turut menggesa kerajaan memantapkan kawalan keselamatan di marina awam membabitkan kes kemasukan warga asing.


Katanya, Jabatan Laut Malaysia perlu memastikan wujud kawalan dan pengurusan kewangan serta pungutan hasil lebih berkesan di marina awam.


“PAC mahu kementerian dan agensi mengambil kira kos penyelenggaraan dan sumber manusia sebelum memohon peruntukan pembangunan.


“Kerajaan juga perlu lebih prihatin dalam merancang aktiviti pembangunan dengan mengambil kira aspek holistik,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #YTL

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.