
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya sudah menyerahkan tiga Surat Setuju Terima (SST) berjumlah keseluruhan RM527 juta bagi pelaksanaan projek kesihatan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun ini.
Sehubungan itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata setiap kontraktor yang menerima SST perlu menyelesaikan setiap projek mengikut jadual supaya mampu memberi manfaat kepada rakyat tepat pada masanya.
"Penerimaan SST ini adalah satu amanah bagi kontraktor. la boleh dianggap sebagai satu peringatan terhadap tanggungjawab yang bakal dilaksanakan oleh kontraktor iaitu merealisasikan apa yang disyaratkan oleh kerajaan.
"Namun begitu, Kementerian Kerja Raya tetap menghargai peranan kontraktor sebagai rakan kongsi kerajaan dalam industri pembinaan negara.
"Ia juga langkah bersama untuk membangunkan negara melalui penghasilan projek yang berkualiti serta mencapai hasrat kerajaan yang sudah mengeluarkan peruntukan," katanya pada sidang media penyampaian SST untuk pembinaan blok baharu Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar, Perak di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini, hari ini.
Beliau berkata, kontraktor yang menerima SST perlu menyediakan program kerja yang benar-benar efektif dan diikuti sepenuhnya sepanjang proses merancang dan melaksanakan kerja-kerja pembinaan kelak.
"Sistem pengurusan projek yang cekap dan terperinci juga diperlukan supaya setiap proses kerja, penggunaan bahan, tenaga keria, jentera dan aliran tunai diambil kira dari awal.
"Ini termasuk pengurusan keselamatan dan keshatan di tapak bina, meningkatkan mutu kerja pembinaan, mengurangkan berlakunya kecacatan serta risiko kemalangan di tapak bina.
"Saya menjangkakan kontraktor sedia maklum mengenai perkara ini di mana seharusnya tidak akan timbul sebarang masalah dalam memastikan kualiti dan audit pembinaan dapat dijalankan dengan menyeluruh serta efisien.
"Jangan hampakan harapan KKR, JKR dan KKM. Laksanakan projek dengan penuh komitmen dan berikan fasiliti kesihatan terbaik kepada rakyat," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai pembinaan blok baharu Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Kangsar, beliau berkata, projek berkenaan bertujuan mengurangkan kesesakan di jabatan yang sudah dibina sejak 1973 itu.
"Selepas dilihat tidak mampu menampung lebih 42,000 pesakit dalam setahun. Jadi, projek ini begitu penting kepada masyarakat setempat.
"Dengan kos projek bernilai RM20.2 juta, diharapkan ia mampu mengurangkan kesesakan di jabatan berkenaan. Projek ini dijangka siap pada awal 2026," katanya.
Dalam perkembangan lain, JKR melalui Cawangan Kerja Kesihatan sudah terbabit dengan 163 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara bermula dari Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK 9) pada 2006 hingga 2010.
Sehingga 3 Julai lalu, sebanyak 31 projek di peringkat perancangan, empat di peringkat rekabentuk, 12 di peringkat perolehan, 71 di peringkat pembinaan dan sejumlah 45 projek berjaya diserahkan oleh JKR kepada KKM dengan nilai kos keseluruhan bernilai RM14.6 bilion.
Sumber: Berita Harian
Siapkan projek ikut jadual supaya beri manfaat kepada rakyat
Comments