top of page

Shahril Shamsuddin umum persaraan, Sapura Energy lantik pengganti


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Sapura Energy Bhd, Tan Sri Shahril Shamsuddin

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) mengumumkan rancangan persaraan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya (CEO), Tan Sri Shahril Shamsuddin selepas menerajui syarikat itu selama 25 tahun.


Shahril dijangka melepaskan jawatan apabila mencapai usia persaraannya pada umur 60 tahun, pada 22 Mac tahun depan.


Sehubungan itu, Ahli Lembaga Pengarah Sapura Energy melantik Datuk Mohd Anuar Taib sebagai Ketua Pegawai Operasi dan bakal CEO berkuatkuasa 1 Oktober ini, sebagai sebahagian daripada tempoh transisi selama enam bulan.


Shahril yang mengasas penubuhan Sapura Energy pada pertengahan 90-an, membina syarikat sejak dari awal bermula dengan kontraktor selaman kepada syarikat minyak dan gas (O&G) bersepadu global.


"Di bawah kepimpinannya, Sapura Energy berkembang daripada memberi tumpuan kepada pasaran domestik menjadi syarikat O&G yang menawarkan perkhidmatan seluruh rantaian nilai huluan.


Ia termasuk menjadi syarikat minyak bebas serantau menerusi SapuraOMV, dengan sumber bersih melebihi 260MMboe dan memenuhi sebahagian besar keperluan gas asli di Malaysia," kata Pengerusi Sapura Energy, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.


"Legasi Tan Sri (Shahril) akan menjadi modal insan berkemahiran tinggi dan memiliki kemampuan teknikal multinasional, aset berkelas dunia yang strategik, proses mantap dan kemampuan pengurusan projek terbaik," tambah Shamsul Azhar.



5 views
bottom of page