top of page

Setiap hari bimbang ditimbus tanah



"SETIAP hari saya tidur tidak lena, bimbang ditimbus tanah runtuh terutama jika hujan lebat," kata Muzafar Shah Ithnin, 50, salah seorang penduduk di Taman Desa Rusa, Port Dickson.


Menurutnya, cerun bukit setinggi lebih 20 meter yang terletak di sebelah rumahnya mula runtuh sejak dua minggu lalu.


"Keadaan ini membimbangkan kerana ia hampir dengan dinding rumah apabila tembok di tebing bukit itu runtuh dan boleh membahayakan keadaan.


"Risau dengan keselamatan membuatkan saya tidak membenarkan anak pulang ke rumah ini. Keselamatan saya sendiri terancam terutama jika hujan lebat turun tengah malam," katanya yang tinggal seorang dirumah itu.



Muzafar berkata, jika keadaan tanah itu tidak dibaiki segera beberapa rumah di situ juga terancam bahaya kerana pihak berkuasa tempatan hanya meletakan kanvas bagi menghalang keadaan menjadi buruk.


"Ada tiga lokasi tanah bukit runtuh di kawasan taman ini dan penduduk sekitar juga diancam bahaya setiap hari.


"Kami dimaklumkan tanah bukit itu kawasan milik tentera yang mana bersebelahan dengan kem tentera dan diberitahu tunggu peruntukan selepas Mesyuarat Exco (Mesyuarat Kerajaan Negeri) minggu depan," katanya.


Sementara itu seorang lagi penduduk, Azlan Othman, 54, berkata, tidak mustahil perkara buruk berlaku jika kerajaan tidak segera bertindak.


"Ia bukan baru, sudah lebih dua minggu dan kami tidak boleh bertahan lagi terutama apabila cuaca buruk.


"Apa yang membimbangkan ialah air dari bukit itu sentiasa keluar menunjukan ia ada 'mata air' dan struktur tanah semakin lemah, tunggu hujan lebat sahaja lagi, kami jadi mangsa keadaan," katanya.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa berkata, pihaknya sudah memohon peruntukan bagi membaiki cerun bukit yang runtuh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


"Kita juga menjemput pihak Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) untuk memberikan nasihat bagi mengatasi masalah yang semakin kritikal ini.


"Kontraktor juga sudah dilantik untuk melaksanakan kerja membaiki cerun runtuh yang berbahaya dan penduduk dinasihatkan untuk berpindah," katanya ketika dihubungi.


Sumber: Harian Metro


9 views
bottom of page