top of page

Senaraikan kontraktor layak jayakan ECRL


DR AHMAD Samsuri (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) Yang di-Pertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Terengganu (PKMMT), Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (kanan) bersama Pengarah Politeknik Sultan Zainal Abidin, Mohd Fikri Ismail (kiri) selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 43, di Hotel Primula. - Foto Baharom Bakar.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Terengganu sudah diminta menyenaraikan kontraktor yang pakar dan layak terbabit dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata ia bagi membolehkan kerajaan negeri menilai keupayaan mereka untuk dikemukakan kepada pengendali ECRL, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC).


“Kita minta PKMM senaraikan syarikat kontraktor yang layak dan mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan untuk terbabit dalam projek ini.

“Projek ECRL yang akan dilaksanakan di negeri ini memberi ruang dan peluang kepada kontraktor tempatan kerana pelbagai kerja awam termasuk penyediaan tapak infrastruktur, jalan dan sistem pendawaian elektrik memerlukan kepakaran kontraktor tempatan.


“Hasil perbincangan diadakan antara MRL dan CCCC, kepakaran kontraktor tempatan terutama membabitkan kerja awam, mekanikal dan elektrikal diperlukan walaupun barangan dan peralatan utama akan dibekalkan dari negara luar,” katanya pada majlis perasmian Mesyuarat Agung PKMM negeri kali ke-43, di sini, hari ini.


Turut hadir, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohamed Fadzill Hassan dan Yang Dipertua PKMM negeri, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri.


Sementara itu, Ahmad Samsuri menegur ketua jabatan dan pegawai tertinggi beberapa agensi kerajaan negeri yang dijemput ke program perasmian mesyuarat agung badan bukan kerajaan (NGO), tetapi meninggalkan program selepas selesai majlis perasmian.


Ia susulan ucapan Mohd Nasir menyentuh tindakan segelintir ketua jabatan, pegawai dan wakil agensi kerajaan dijemput ke mesyuarat agung gagal menunggu sehingga mesyuarat selesai, menyebabkan usul dan cadangan dibangkitkan ahli terutama membabitkan isu berkaitan kerajaan negeri tidak diselesaikan.


“Saya mengarahkan semua ketua jabatan, pegawai tertinggi atau wakil agensi kerajaan yang dijemput hadir program terutama membabitkan perasmian mesyuarat agung supaya mengemukakan maklum balas secara terus kepada saya,” katanya.



75 views
bottom of page