Kuala Terengganu: Semua pemilik bangunan lama di Terengganu disaran membuat semakan terhadap sistem pendawaian sedia ada bagi mengelak kejadian tidak diingini terutama kebakaran.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, pemilik juga disyor melakukan pendawaian semula pada bangunan yang sudah berusia kerana berisiko tinggi.
Katanya, cadangan itu sentiasa diberikan kepada mana-mana pemilik bangunan berusia termasuk rumah persendirian, namun tiada paksaan.
"Macam bangunan atau rumah persendirian, kita tak boleh paksa mereka untuk buat pendawaian semula... kita cuma boleh nasihat dan cadangkan mereka berurusan dengan kontraktor atau konsultan," katanya ketika ditemui.
Ahad lalu, deretan 12 rumah kedai di Jalan Bandar, Kampung Cina, di sini terbakar dipercayai akibat sistem pendawaian usang dan tidak teratur.
Md Hilman berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan bersama agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan elektrikal dalam kalangan masyarakat.
"Pada saya isu pendawaian ini satu hal tetapi kesedaran tentang keselamatan ini penting dan jangan ambil mudah isu ini.
"Sebagai contoh, meninggalkan masakan di atas dapur atau menyambungkan terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket. Jadi kita nak tingkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comments