top of page

Selangor tumpu baik pulih 37 projek terbengkalai


Gambar hiasan

SHAH ALAM: Sebanyak 37 projek perumahan terbengkalai di Selangor yang kini berada di bawah pemantauan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan sedang menjadi perhatian kerajaan negeri untuk dibaik pulih.


Sehingga Julai lalu, 81 daripada 180 projek perumahan terbengkalai di Selangor berjaya dipulihkan sejak 2008.


Ia termasuk kejayaan kerajaan negeri, melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menyelesaikan penantian 203 pembeli rumah Idaman Warisan di Alam Perdana, Ijok, selepas terbengkalai sejak 1999.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata daripada keseluruhan projek terbengkalai itu, hanya dua projek yang menggunakan dana kerajaan negeri untuk dibaik pulih dan ia hanya membabitkan infrastruktur.



Katanya, kerajaan negeri bersama-sama pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memantau status setiap projek dan akan mengemaskini dari semasa ke semasa.


"Kebanyakan pembaikan atau kerja pemulihan ini akan dilakukan oleh kontraktor atau pemaju penyelamat. Dalam kes projek terbengkalai Idaman Warisan, ia dibaik pulih konsortium di antara pemaju LBS Bina Group Bhd dan Worldwide Holdings Bhd," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci rumah kepada 203 pemilik asal projek Idaman Warisan Shah Alam, hari ini.


Usaha memulihkan projek terbengkalai yang dahulunya dikenali sebagai Taman Arcadia itu dimulakan pada September 2016 apabila MBI Selangor menandatangani perjanjian Pemulihan Projek Alam Perdana bersama konsortium di antara LBS Bina Group dan Worldwide Holdings.


Mengulas lanjut, Amirudin berkata, penyerahan kunci itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan rakyat menerima pulangan yang baik hasil perkongsian strategik serta tadbir urus korporat yang cekap.


"Dalam perjanjian pemulihan asal, rumah ini pada mulanya akan diserahkan tanpa perabot dan kelengkapan elektrik sama seperti projek perumahan lain.


"Namun pada tahun lalu, saya telah mengumumkan pemberian perabot dan kelengkapan elektrik sebagai insentif kepada pemilik yang telah menunggu sekian lama untuk mendapatkan rumah mereka," katanya.


Semua 203 pemilik rumah Idaman Warisan akan menerima seunit set televisyen, kabinet dapur, kabinet tv, peti ais, tiga penyaman udara, dua pemanas air dan tiga unit almari di setiap bilik tidur.



57 views

Komentar


bottom of page