Selangor rangka strategi elak air tercemar lagi



Shah Alam: Kerajaan negeri menggariskan beberapa langkah penyelesaian jangka masa pendek dan panjang susulan isu pencemaran sumber air yang kerap berlaku di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi penyelesaian jangka pendek, kerajaan negeri akan menambah lebih 20 kakitangan bagi melakukan pemantauan di dua lembangan sungai utama iaitu Sungai Selangor dan Sungai Langat.


Katanya, dua jabatan iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah diarahkan untuk menambah jumlah kakitangan kontrak bagi tujuan pemantauan itu.


"Dalam pada itu, seperti yang diumumkan mulai November ini, kami akan menggunakan perkhidmatan dron yang mana ia akan memberikan kajian awal mengenai premis bangunan dan juga perkara-perkara berhampiran sungai yang boleh mencemarkan sumber air.


"Dron berkenaan juga mampu mencerap kualiti dan kuantiti kedudukan air yang mengalir di sungai dengan kekerapan dua kali sehari serta boleh bergerak sejauh 1,000 kilometer," katanya ketika sidang media di Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini, tadi.


Amirudin berkata, untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk meningkatkan pengurusan dan perawatan air Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini.


Jelasnya, perancangan itu mungkin akan mengambil masa yang panjang yang mana teknologi yang ingin digunakan akan menyahbau pencemaran dari sumber air tanpa perlu henti tugas LRA.


"Teknologi lain yang mungkin dapat digunapakai adalah dengan menyekat air tercemar di sungai dan menyalurkan bekalan menggunakan beberapa kolam takungan lain atau menerusi Projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS).


"Air Selangor sedang meneliti hal ini secara menyeluruh dan sudah pasti ia akan membabitkan kos ratusan juta ringgit.


"Sekiranya kita dalam membuat kesimpulan awal, saya akan bentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November depan," katanya.


Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai pemberian diskaun kepada pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air, Amirudin berkata, perkara itu ada dibincangkan, namun tiada sebarang ketetapan dibuat pada masa ini.


Katanya, kerajaan negeri berpendapat kos bagi pemberian subsidi itu adalah lebih wajar dibelanjakan untuk pelaksanaan penambahbaikan pengurusan air di Selangor.


"Kita sudah membuat kiraan sebelum ini, kalau kerajaan negeri beri diskaun RM2 bagi setiap akaun pengguna, ia akan menelan kos sekitar RM4 juta.


"Lebih baik RM4 juta itu digunakan untuk tambahan pegawai atau gunakan untuk kemajuan teknologi yang ingin dibangunkan selepas ini," katanya.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Selangor

14 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.