top of page

Selangor digesa hukum penjara pencemar sungai


Kilang menyelenggara mesin dan jentera di Rawang yang disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Gong, disita pihak berkuasa. - Foto NSTP/Mahzir Mat Isa

SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor digesa menggubal hukuman lebih berat termasuk mengenakan hukuman penjara kepada pihak yang melakukan pencemaran sungai.

Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail, berkata isu air bukanlah baharu di negeri itu dan pihaknya sentiasa mengingatkan Kerajaan Selangor supaya mengambil langkah-langkah progresif.


"Langkah progresif itu termasuk menggubal dasar pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya kejadian pembuangan sisa minyak dan bahan kimia di mana-mana sungai di negeri ini tidak berulang secara serius.


"Malah, dalam tahun ini sahaja lima kes pencemaran sungai direkodkan. Saya kesal dengan situasi ini yang menyebabkan jutaan pengguna terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, pencemaran sungai berpunca daripada kilang dan premis yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan masalah yang bakal berlaku.


"Penguatkuasaan melalui PBT harus ditingkatkan bukan sahaja premis mesin judi yang tidak berlesen, malah juga premis yang berisiko tinggi terhadap pencemaran air," katanya.


Dalam pada itu, Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar turut kecewa dengan tindakan meroboh rumah penduduk atas alasan projek tebatan banjir perlu segera dilaksanakan, namun tidak kepada premis yang melakukan pencemaran.


"Sudah tiba masa kita tidak berlembut dengan mereka (premis yang melakukan pencemaran). Tiada kompromi dan tutup premis itu.


"Kebajikan rakyat Selangor adalah tugas utama Kerajaan Negeri. Segera bertindak," katanya.



Comentários


bottom of page