top of page

Sektor pemaju perumahan dibenar operasi dalam Fasa 1, Fasa 2 PPN


Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Sektor pemajuan perumahan dibenarkan beroperasi di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa serta-merta.


Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut dicapai semasa Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik pada 23 Julai lalu.


“Kebenaran beroperasi itu adalah terpakai kepada pemaju perumahan yang masih aktif dan sah Lesen Pemajuan Perumahan dan Permit Iklan dan Jualan (APDL) di bawah Akta 118,” katanya di sini hari ini.


Menurut KPKT, di bawah Fasa 1 PPN, aktiviti-aktiviti yang dibenarkan beroperasi adalah pejabat pengurusan pemaju perumahan, urusan serahan notis milikan kosong dan kunci rumah, kerja-kerja baik pulih kerosakan kritikal dalam tempoh liabiliti kecacatan serta kerja-kerja pembinaan untuk Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad bagi kontraktor G1 hingga G4.


“Sementara itu, di bawah Fasa 2 PPN, aktiviti tambahan yang dibenarkan adalah aktiviti pemasaran dan jualan di pejabat pemaju, ejen jualan selain galeri jualan,” katanya.


KPKT berkata, kebenaran beroperasi sektor pemaju perumahan adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terkini sektor pemajuan perumahan yang boleh dimuat turun di laman web https://www.kpkt.gov.my.


“Sementara itu, SOP pembinaan dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya di www.cidb.gov.my dan SOP Am Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan di www.mkn.gov.my bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya.


Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Perumahan Negara di talian hotline 03-8891 4493 atau sambungan 4494.


101 views

Comments


bottom of page