top of page

Sektor hartanah di utara Perak akan lebih rancak


Sektor hartanah di utara Perak akan lebih rancak
Projek Eco Horizon yang dimajukan oleh EcoWorld di selatan Seberang Perai.

Sektor hartanah di utara Perak akan lebih rancak

KUALA LUMPUR: Rancangan untuk membuka kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian di utara Perak berikutan pertumbuhan pesat sektor elektrik dan elektronik (E&E) akan menggalakkan pertumbuhan pasaran perumahan di kawasan sekitarnya.


Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata beberapa dasar dan galakan baharu yang akan diperkenalkan bagi meraih lebih banyak pelaburan berimpak tinggi ini secara langsung turut memberi kesan limpahan positif terhadap sektor hartanah.


Beliau berkata, Eco World Development Bhd (EcoWorld) dan Tambun Indah Bhd ialah antara pemaju yang ketika ini mempunyai projek di selatan Seberang Perai iaitu masing-masing Eco Horizon dan Pearl City.


"Dalam satu ke dua tahun tahun akan datang, kami menjangkakan beberapa pemaju akan menerokai peluang mengumpul bank tanah di kawasan sekitar," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Dalam perkembangan berkaitan, Kok Wen berkata pembentangan Belanjawan 2024 dilihat menyediakan beberapa langkah yang lebih mesra kepada rakyat asing dan pelabur, terutamanya dengan komitmen kerajaan untuk melonggarkan syarat Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) walaupun tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai hal ini.


Beliau berkata, sebelum ini apabila laporan menyebut bahawa garis panduan yang lebih ketat telah menyebabkan bilangan pemohon MM2H jatuh sebanyak 90 peratus.


"Oleh itu, dengan syarat-syarat yang lebih mudah ini, projek-projek di Pulau Pinang, kawasan KLCC dan Mont' Kiara di Kuala Lumpur, dan juga wilayah Iskandar Malaysia di Johor patut mendapat manfaat, kerana kawasan-kawasan ini lazimnya menjadi tempat yang digemari untuk membeli rumah dalam kalangan pembeli warga asing.


"UEM Sunrise, Sunway dan Eastern & Oriental (E&O) akan menjadi penerima manfaat utama daripada langkah ini," katanya.


Mengenai pasaran hartanah di Iskandar Malaysia, Kok Wen berkata kerajaan telah meluluskan RM169 juta untuk melaksanakan langkah-langkah demi meredakan kesesakan di pintu kemasukan sempadan.


Katanya, ia berikutan laporan bahawa pengembara yang menggunakan laluan darat antara Malaysia-Singapura melalui dua pintu masuk sempadan darat (Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura) dijangka meningkat pada kadar 15 peratus setahun, manakala lintasan harian diunjurkan akan mencecah 430,000 menjelang 2025 daripada anggaran 372,000 tahun ini.


"Kami menjangka pengumuman akan dibuat mengenai zon kewangan khas (SEZ) Johor-Singapura untuk mendorong lagi minat pada saham-saham hartanah berkaitan Johor memandangkan trafik rentas sempadan yang meningkat dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bakal menjadi pemacu utama.


"AME Elite Consortium ialah pilihan saham perindustrian utama di Iskandar Malaysia," katanya.


Sumber: Berita Harian


Sektor hartanah di utara Perak akan lebih rancak

bottom of page