top of page

Sekolah warna-warni tarik minat belajar



BELAJAR dalam suasana ceria dan warna-warni.


Itu inisiatif Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Wan Kemara, Changlun di sini, bagi memastikan kemenjadian murid di sekolah berkenaan.


Sejak tiga minggu lalu, guru, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bertungkus-lumus menceriakan sekolah itu dengan mengecat bangunan, menghias kelas serta laman sekolah dengan kreativiti masing-masing.


Guru Besarnya, Mohd Nizam Saidin berkata, pihaknya turut memperuntukkan RM7,000 bagi proses mengecat bangunan sekolah itu dengan warna lebih menarik.

Katanya, bangunan dicat dengan warna hijau kuning, merah, ungu, biru dan dilakukan kontraktor luar yang diupah.


“Tetapi untuk hiasan kelas, ibu bapa dibenarkan mengambil bahagian. Inisiatif yang kita lakukan ini menarik lebih ramai ibu bapa memberi kerjasama baik, malah ramai waris mahu menghantar anak ke sekolah ini.


“Buktinya, pada tahun ini kami menerima kemasukan sehingga 1,384 murid berbanding 1,200 tahun lalu, menyebabkan kita terpaksa mengehadkan pengambilan murid berikutan hanya mempunyai 42 bilik darjah,” katanya ketika ditemui, di sini.


Mengulas lanjut, Nizam berkata, sekolah turut mewujudkan Asean Mini Park bagi memaparkan maklumat mengenai negara Asean, selain menyediakan permainan catur gergasi di situ.


Katanya, setiap murid akan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum dan sekolah tidak pernah menyisihkan murid yang kurang cemerlang dalam pelajaran.


“Kita pupuk mereka dengan amalan kebersihan dan sayangkan sekolah, setiap murid sudah dilatih untuk bertanggungjawab dengan kawasan sekolah.


“Bagi aktiviti kokurikulum, setiap pelajar wajib sertai sekurang-kurangnya satu aktiviti antaranya dilatih menjadi khatib dan wartawan. Pada mulanya mereka takut namun dengan watak guru dan sekolah yang ceria, mereka lebih berani,” katanya.


Sumber: Harian Metro


32 views
bottom of page