Sejumlah 40 peratus kerja sivil ECRL Pahang diberi kepada kontraktor tempatan
- Ridhwanisme
- Dec 21, 2020
- 2 min read

KUALA LUMPUR: Taraf Raya Sdn Bhd menyasarkan 40 peratus kontrak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan laluan Pahang diisi oleh kontraktor tempatan negeri itu.
Pengerusinya, Datuk Indera Tun Putera Matin Ahmad Shah Munir, berkata Taraf Raya telah dilantik oleh kerajaan Pahang untuk menyelaraskan pembabitan kontraktor di negeri itu membabitkan kerja sivil.
Katanya, sebelum penubuhan Taraf Raya, kuota itu adalah di bawah lima peratus dan pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan jumlah itu kepada 20 peratus menjelang suku pertama 2021.
"Jumlah ini akan terus ditingkatkan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran 40 peratus sepanjang tempoh pembinaan projek rel ini yang dijangka mengambil masa selama enam tahun untuk disiapkan.
"Selain itu, kita menjangkakan sebanyak 15,000 peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada rakyat negeri Pahang dalam projek ECRL ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL); China Communication Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC) dan Taraf Raya.
MRL diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak; CCC oleh Pengarah Urusannya, Bai Yinzhan manakala Taraf Raya oleh Tun Putera Matin
Majlis itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Taraf Raya ialah syarikat usaha sama di antara Landasan Surimas Sdn Bhd yang memegang 70 peratus kepentingan dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) sebanyak 30 peratus.
Mengulas lanjut Putera Matin berkata, sejak penubuhan Taraf Raya pada tahun ini, syarikat itu telah mendapat sambutan baik daripada kontraktor tempatan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut proses menyertai projek ECRL di Pahang.
"Saya percaya projek ini juga adalah platform yang penting kepada kontraktor-kontraktor tempatan terutamanya di Pahang untuk menunjukkan bakat dan meningkatkan kemahiran mereka dalam sektor pembinaan melalui kuota 40 peratus ini.
"Saya yakin MoU ini akan menjadi batu loncatan di antara MRL, CCC dan Taraf Raya dalam meningkatkan usaha dan kerjasama dalam melicinkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan ECRL di Pahang," katanya.
Projek ECRL sepanjang 640 km itu terbahagi kepada tiga seksyen, iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab), dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).
Infrastruktur kereta api itu akan melalui negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum menghubungkan Negeri Sembilan, Selangor dan Putrajaya.
Dijadualkan siap pada Disember 2026, ECRL akan mengurangkan masa perjalanan dan dijangka menghubungkan Kota Bharu dengan Putrajaya kira-kira empat jam.
Sumber: Berita Harian
Comments