top of page

Segerakan projek tebatan banjir Sungai Masai


KEADAAN air Sungai Masai yang melimpah susulan banjir kilat baru-baru ini melanda Kampung Masjid di Pasir Gudang, Johor.

PASIR GUDANG: Kerajaan perlu menyegerakan projek tebatan banjir di Sungai Masai, di sini bagi mengatasi masalah banjir kilat yang dilaporkan kerap berlaku setiap kali hujan lebat di kawasan berdekatan.


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, kejadian banjir kilat yang berlaku di kawasan perkampungan dan taman di daerah ini menyebabkan penduduk mengalami kerugian akibat kemusnahan harta benda.


“Air naik dengan cepat menyebabkan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda seperti perabot dan perkakas rumah. Sungai Masai perlu didalamkan dan dilebarkan bagi menampung kapasiti air yang banyak dan melimpah ketika hujan lebat.


“Selain itu, pembinaan komponen-komponen tebatan banjir seperti pintu air, pam air dan benteng tebatan banjir juga perlu dilaksanakan segera bagi mengelak kejadian terus berulang,” katanya di sini, hari ini.


Banjir kilat berlaku semalam antaranya melibatkan Kampung Sungai Rinting, Kampung Sepakat, Pasar Awam Masai, Taman Mawar dan Taman Rinting.


Noor Azleen yang juga Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Scientex 2 berkata, beberapa lengkok Sungai Masai juga perlu diluruskan bagi memastikan kesempurnaan aliran air ketika hujan lebat.


6 views

Comments


bottom of page