Segera siapkan projek LRA Langat 2 - AWER


Orang ramai mengambil bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat (PKS) Taman Sri Andalas, Klang susulan gangguan bekalan air yang berlaku. - Foto NSTP / Faiz Anuar

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera menyiapkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang diyakini satu-satunya penyelesaian untuk mengurangkan impak gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Lembah Klang.


Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran, berkata kerajaan perlu menyiapkan projek itu sekurang-kurangnya tahun depan atau pertengahan 2022, memandangkan isu pencemaran air dan kebocoran paip dilihat berada luar kawalan dan boleh berlaku bila-bila masa.


"Perkara ini luar kawalan, ia tidak boleh ditangani sepenuhnya melalui langkah penguatkuasaan kerana kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah jutaan pengguna apabila gangguan bekalan air secara tidak berjadual terpaksa dibuat berikutan pencemaran atau faktor lain.


"Disebabkan itu perancangan teliti perlu dibuat supaya apabila berlaku situasi tidak dijangka, bekalan air tersekat sepenuhnya tetapi ada alternatif iaitu melalui bantuan loji lain.


"Cuma, apabila ramai pengguna dapat bantuan air, tekanan mungkin lebih rendah, namun ia lebih baik daripada pengguna terpaksa menghadapi keadaan yang mana langsung tidak ada sumber air selama berhari-hari," katanya.


Beliau berkata, isu margin air rendah perlu dilihat secara serius dengan perancangan teliti bagi jangka masa panjang.


"Setiap kali berlaku pencemaran atau kebocoran paip, ia mengakibatkan gangguan air secara besar-besaran. Ini kerana margin air sedia ada rendah.


"Disebabkan itu penting untuk LRA Langat 2 disiapkan segera bagi menaikkan margin air kepada angka lebih selesa.


"Jika Langat 2 beroperasi, kita ada tambahan air terawat sebanyak 1,130 juta liter air sehari (MLD) dan sekiranya berlaku gangguan bekalan air di sesebuah lokasi, dapatlah menampung keperluan semasa pengguna," katanya ketika dihubungi hari ini.


Piarapakaran berkata, kerajaan perlu menyediakan pelan kecemasan jangka panjang kerana kebanyakan LRA yang terpaksa dihenti tugas ini adalah loji dengan kapasiti besar.


"Misalnya, jika LRA Sungai Selangor Fasa 1 sahaja terjejas, mungkin loji lain seperti di Bukit Nenas dan Wangsa Maju boleh membantu.


"Tetapi jika LRA Fasa 1, 2 dan 3 terjejas serentak, tidak ada loji lain boleh membantu kerana ia membabitkan loji besar," katanya.


Untuk rekod, Pembinaan LRA Langat 2 dimulakan pada 2014, bagaimanapun tertangguh dan dijangka siap 2023.


Terdahulu, isu pencemaran air di Selangor hangat diperkatakan selepas pencemaran Sungai Gong di Rawang, awal bulan lalu.


Kemudian, pada 4 Oktober, LRA Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi turut dihenti tugas susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat, yang menjejaskan 309,605 akaun.


Insiden sama berlaku hari ini apabila Air Selangor memaklumkan empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor.


Susulan itu, kira-kira 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas berikutan gangguan bekalan air berkenaan.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Selangor

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.