top of page

Sarawak perlukan 1,500 jurutera


Sarawak perlukan 1,500 jurutera Sarawak Voice www.sarawakvoice.com
Gambar hiasan: Sarawak perlukan 1,500 jurutera

KUCHING: Sarawak perlu melahirkan lebih ramai tenaga pakar khususnya dalam bidang sains dan kejuruteraan selaras matlamat kerajaan ke arah ekonomi baharu. Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia susulan kepakaran itu menjadi pemain utama merealisasikan wawasan Sarawak mencapai ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.


Menurutnya, Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 jurutera petrokimia susulan pemulaan projek tenaga hijau berskala besar di negeri ini.


“Kita mesti ada jumlah ahli kimia yang melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia. Jika tidak, bagaimana hendak mencari bakat ini bagi mengisi keperluan yang ditawarkan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Institut Kimia Malaysia (IKM) Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, baru-baru ini.


Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, bukan sahaja ahli petrokimia, malah Sarawak memerlukan ahli biokimia berikutan semua kepakaran dalam bidang kimia sangat penting.


Justeru katanya, setiap rakyat di negeri ini perlu memainkan peranan masingmasing bagi membantu kerajaan menjadikan Sarawak negeri maju. Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah graduan yang mengambil bahagian dalam bidang sains dan kejuruteraan menurun.


“Tiada lagi alasan untuk tidak mendapatkan pendidikan ketika ini disebabkan masalah kewangan. Ini kerana Sarawak menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan, jika tidak dapat ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kita ada IPT swasta milik penuh Kerajaan Sarawak.


“Apa yang penting, rakyat perlu bijak memanfaatkan peluang yang disediakan itu untuk terlibat sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan negara terutama dalam melahirkan lebih ramai jurutera dan saintis.


“Seperti yang dikatakan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Malaysia tidak boleh hanya kekal dengan pelan intensif rendah sebaliknya memulakan langkah ke arah transformasi teknologi.


“Akhirnya Kuala Lumpur sudah sedar akan kepentingan teknologi seperti apa yang dilaksanakan oleh Sarawak sebelum ini, cuma isunya sekarang, ramai lagi yang belum sedar akan peluang yang ditawarkan,” ujarnya.


Pada majlis itu, Dr Sim turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada IKM Sarawak bagi melaksanakan Karnival Kimia Malaysia (K2M) tahun hadapan. Pengerusi IKM Sarawak Dr John Chan dan Presiden IKM Sarawak Datuk Dr. Soon Ting Kueh turut hadir.


Sumber: Sarawak Voice


13 views

Comments


bottom of page