SEKTOR pasaran hartanah Malaysia dijangka terus pulih walaupun pada kemajuan perlahan apabila Asia Pasifik berdepan keadaan tidak menentu dan dengan prospek ekonomi global suram pada 2023, kata perunding hartanah global Knight Frank Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Keith Ooi berkata, pengenalan insentif hijau perlu menjadi inisiatif utama memacu sektor terbabit.
"Kami harap kerajaan memperkenalkan 'insentif hijau' kepada pembeli hartanah, tuan tanah, penghuni dan pemaju agar selari sasaran negara menjadi negara 'sifar bersih' karbon menjelang 2050.
"Peningkatan kesedaran dan pelaksanaan kerangka alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pasaran hartanah membantu memacu nilai hartanah mampan," katanya susulan pengeluaran laporan Sorotan Hartanah Separuh Kedua 2022.
Firma perunding hartanah itu berkata, dalam sektor kediaman, kenaikan tiga kali kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas setiap satu untuk mengawal inflasi memberi kesan kepada kos pinjaman dan keputusan pembeli untuk membeli barangan berharga mahal seperti hartanah.
Bagaimanapun, laporan itu menyatakan sektor tersebut akan pulih seiring dengan peningkatan aktiviti ekonomi.
Menurut laporan itu, bagi sektor kediaman dalam kalangan negeri tertentu, momentum hartanah kediaman tinggi di Pulau Pinang kekal bertahan, mencatatkan kuantiti dan nilai jualan tahunan yang tinggi setakat Suku Ketiga 2022.
Bagi sektor pejabat, tahap sewaan dan penghunian bangunan pejabat milik persendirian terpilih terus kekal kukuh.
Bagaimanapun, pasaran hartanah kediaman tinggi di Johor agak kurang cergas dengan tanpa sebarang pelancaran baharu pada Separuh Kedua 2022. Namun begitu, sentimen menjadi positif berikutan kemajuan projek Sistem Transit Rapid di Johor Baru yang sedang dalam pembinaan.
Sementara itu Sabah merekodkan pelancaran kediaman yang tinggi, peningkatan penghunian di bangunan pejabat milik persendirian terpilih dan pertambahan jumlah pengunjung dengan pembukaan jenama baharu gedung beli belah utama.
Secara keseluruhannya, pengarah eksekutif kanan penyelidikan dan perundingannya Judy Ong berkata terdapat peningkatan kesedaran mengenai isu-isu alam sekitar dalam kalangan pembeli yang kini mencari ciri-ciri berkualiti dan mampan dalam pembelian mereka. Institusi kewangan juga mula memperkenalkan kemudahan pembiayaan hijau.
Bagi sektor pejabat, Ong berkata pasaran pejabat di Kuala Lumpur kekal kompetitif pada separuh kedua 2022 berikutan jurang penawaran-permintaan yang melebar di pusat bandar dan kawasan pinggir bandar ditambah dengan syarikat multinasional yang mengguna pakai model kerja hibrid.
Pasaran pejabat di Selangor kekal kukuh dengan peningkatan aktiviti penyewaan terutamanya bangunan Gred A di lokasi utama.
"Pasaran pejabat di Lembah Klang dijangka terus mendapat permintaan penyewaan dengan tuan tanah menumpukan kepada mengekalkan penyewa menerusi pengoptimuman kos, inisiatif pengukuhan aset dan insentif pajakan," katanya.
Menurut laporan itu, bagi sektor runcit, ia mencatatkan lantunan semula kukuh dengan pertumbuhan jualan runcit tahun penuh disemak semula kepada 41.6 peratus susulan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 96 peratus pada suku ketiga 2022.
Manakala sektor hartanah perindustrian juga kekal dengan trajektori pertumbuhan meningkat susulan perancangan kukuh dalam projek gudang dan pengedaran yang dipacu oleh permintaan kukuh daripada pemain dan pelabur logistik.
Lembah Klang kekal sebagai destinasi ideal bagi pindahan operasi perniagaan dalam kalangan syarikat yang menumpukan ke pada Asia Tenggara kerana ia menawarkan keseimbangan yang sesuai antara kos, kecekapan dan kualiti.
Sumber: Harian Metro
Comments