top of page

Sapura Energy pulih, kembali catat untung


Sapura Energy pulih, kembali catat untung Berita Harian www.bharian.com.my
Sapura Energy Bhd

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd mencatatkan untung bersih RM10.18 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 berbanding kerugian bersih RM669.34 juta pada suku yang sama tahun lalu.


Peningkatan dalam pendapatan adalah disebabkan oleh pengiktirafan yang lebih rendah bagi peruntukan untuk kerugian yang boleh dijangka, kos projek yang diiktiraf lebih rendah, susut nilai yang lebih rendah, bahagian keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha sama (JV), serta keuntungan pertukaran asing yang menggalakkan.


Bagaimanapun, hasil bagi suku dalam tinjauan susut 12.4 peratus kepada RM1.28 bilion daripada RM1.46 bilion sebelumnya.


"Hasil yang lebih rendah pada suku yang sama tahun sebelumnya adalah disebabkan oleh penurunan dalam hasil yang diiktiraf daripada segmen perniagaan kejuruteraan dan pembinaan (E&C) susulan peratusan yang lebih rendah daripada penyiapan projek yang dilaksanakan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Anuar Taib, berkata walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan, Sapura Energy berjaya merekodkan satu lagi suku yang lebih baik sambil meneruskan momentum dan pelaksanaan Pelan Tetapan Semula.


"Keutamaan kami sangat jelas, kami menumpukan kepada peningkatan aliran tunai dan pendapatan kumpulan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan, serta mengukuhkan pengurusan risiko dan operasi kami untuk kemampanan jangka panjang," katanya.


Mohd Anuar juga berkata, kumpulan itu komited untuk terus menyemak semula kontrak-kontrak yang berprestasi rendah serta berunding semula bagi penyelesaian komersial dengan pelanggan.


"Sapura Energy agak lemah dalam usaha membina semula perolehan nilai kontrak, memandangkan akses yang terhad untuk mendapatkan jaminan bank dan kemudahan modal kerja semasa fasa penstrukturan semula, yang memberi kesan kepada segmen perniagaan E&C serta operasi dan penyelenggaraan.


Perolehan nilai kontrak kumpulan itu pada masa ini berjumlah kira-kira RM6.8 bilion, manakala perolehan nilai kontrak yang tidak disatukan di bawah entiti JV kumpulan ialah kira-kira RM5.7 bilion.


Susulan daripada persetujuan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat Malaysia (CDRC) untuk membantu menjadi pengantara kepada Sapura Energy dengan pemberi pinjaman, kumpulan itu menyerahkan draf Cadangan Skim Penstrukturan Semula kepada CDRC pada 29 September 2022.


Sumber: Berita Harian


6 views

Comments


bottom of page