top of page

Sapura Energy dapat kontrak RM611 juta


Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Bhd

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd memenangi beberapa kontrak utama projek saluran paip dengan nilai keseluruhan mencecah RM611 juta.


Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, antara kontrak utama terbaharu yang dimenangi di Asia Barat menerusi anak syarikatnya, Sapura Fabrication Sdn Bhd adalah bagi Blok 6 Lapangan Minyak Al-Khalij.


"Total E&P Golfe menganugerahkan kontrak bagi menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, pemerolehan, bekalan, pembinaan, pemasangan dan pra operasi dua saluran paip 16 inci di Blok 6," katanya.


Lapangan Minyak Al-Khalij terletak di luar pantai Qatar, iaitu kira-kira 110 kilometer dari daratan pantai dengan kedalaman air sekitar 59 meter.


Menurut kenyataan itu, kerja-kerja projek di Blok 6 dijangka selesai menjelang suku kedua tahun kewangan 2022.


"Projek saluran paip ini adalah sebahagian daripada beberapa kontrak yang dimenangi oleh bahagian Kejuruteraan dan Pembinaan (E&C) dan Penggerudian Sapura Energy dengan nilai gabungan kira-kira RM611 juta.


"Kejayaan meraih kontrak baharu ini membuktikan daya tahan Sapura Energy dalam mendepani persekitaran yang mencabar, selain dapat mengembangkan strategi syarikat untuk memanfaat keupayaan serta aset menjangkau pasaran antarabangsa," katanya.


Sapura Energy berkata, ia menyasarkan untuk merebut peluang yang semakin meningkat dalam pasaran minyak dan gas, selain memperkukuhkan kehadirannya di rantau dan segmen industri yang paling cepat berkembang.


"Sapura Fabrication juga memenangi kontrak Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn Bhd (CPOC) bagi kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pengangkutan & pemasangan dan penyambungan & pentauliahan bagi Host Tie-In dan kerja Pengubahsuaian Brownfield untuk projek tambahan saluran paip Andalas Fasa 4 di Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA).


"Skop kontrak merangkumi kejuruteraan, perolehan, pembinaan darat, pengangkutan dan penyewaan kapal laut, serta penyambungan luar pesisir dan pengoperasian Host Tie-In dan Pengubahsuaian Brownfield di Jengka-A Wellhead Platform, Andalas-B Wellhead Platform dan Platform Pemprosesan Pusat MUDA," katanya.

Sumber: Berita Harian


11 views
bottom of page