top of page

Sampai bila kesesakan di sekolah nak selesai?



SUDAH menjadi kebiasaan kita melihat kesesakan kenderaan di pintu pagar sekolah berikutan ibu bapa dan bas sekolah menurun atau menunggu kanak-kanak. Diburukkan lagi apabila waktu puncak di mana pengguna jalan raya lain turut melalui kawasan tersebut untuk pergi kerja atau urusan lain.



Dari pengamatan saya, masalah lalu lintas yang kritikal ini boleh diselesaikan sekiranya semua pihak bertolak ansur. Agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pendidikan boleh memberi kerjasama dengan ‘meminjam’ sebahagian kawasan berpagar sekolah untuk ibu bapa meletakkan kenderaan sebagai laluan atau tempat menunggu anak masing-masing.


Sekiranya kekurangan tapak yang sesuai untuk dijadikan tempat menunggu, pemilik tanah seperti PBT serta agensi lain yang berjiran dengan sekolah dapat memberi kebenaran secara sementara penggunaan kawasan lapang atau simpanan yang terbiar seperti tanah rizab sungai bagi meleraikan serta mengatur kenderaan-kenderaan yang kebiasaannya diletakkan berpusu-pusu di pintu pagar sekolah pada waktu puncak. Dengan inisiatif sebegini, ia dapat mengelakkan pertembungan kenderaan keluar masuk sekiranya sekolah tersebut berhampiran dengan jalan besar serta berjiran dengan kawasan perumahan. Sedangkan kawasan di dalam pagar sekolah masih luas untuk digunakan sementara.


Oleh itu, diharap pihak-pihak tertentu dapat menimbang cadangan ini secara proaktif dan bukannya menganggap fenomena kesesakan lalu lintas sebagai satu kebiasaan tanpa tindakan yang boleh menghantui komuniti sekian lama.

TENGKU MAN Senawang



Comments


bottom of page