top of page

Sambungan haram curi air



JABATAN Air Negeri Sabah (JANS) mengesan perbuatan mencuri air berdekatan setinggan Kampung Muhibbah di Sandakan semalam.


Jurutera JANS Sandakan Hamka Ismail berkata, hasil maklumat yang diterima terdapat satu sambungan haram tanpa meter dikesan di lokasi berkenaan.


Menurutnya, sambungan haram disambung terus ke paip utama 30 sentimeter disyaki dilakukan pihak tidak bertanggungjawab untuk disambungkan ke setinggan berdekatan.


“Tindakan pemotongan ke atas sambungan haram itu kemudiannya dijalankan bermula 9.30 pagi dengan bantuan kontraktor yang dilantik JANS.

“Beberapa gulung paip pelbagai saiz turut dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.


Hamka berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003.


Dalam kenyataan sama, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan dua kompaun terhadap dua premis semalam.


“Kes pertama berlaku Jalan Sulaiman, Batu Lapan apabila pengguna dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 atas kesalahan merosakkan meter air.


“Kes kedua di Bandar Majulah, Batu Sapi membabitkan kompaun sebanyak RM500 atas kesalahan mengubah kedudukan meter air tanpa kebenaran pihak JANS.


“Kedua-dua kesalahan itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 52 (1)(c) Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003 yang boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara dua tahun,” katanya.


Sumber: Harian Metro


11 views
bottom of page