Sambung bina Menara Merdeka 118



MENARA Merdeka 118, projek pembangunan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikat miliknya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd akan menyambung kerja pembinaan minggu ini selepas tergendala kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Jalil Rasheed berkata, ketika ini ia berada pada tahap kemajuan 50 peratus siap dengan ketinggian semasa adalah 111 tingkat.


"Lebih kurang tujuh tingkat lagi untuk disiapkan. Namun, projek ini mungkin berdepan sedikit kelewatan selepas kerja pembinaan terhenti akibat PKP.


"Ia mungkin memerlukan tempoh lanjutan antara dua hingga tiga bulan," katanya pada sidang media maya pelancaran laporan tahunan PNB 2019 dan pelan strategik PNB 2020-2022 (Fokus 4), semalam.


Hadir sama, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz.


Menurutnya, pihaknya juga memerlukan masa untuk menyesuaikan pekerja dengan peraturan ketat di tapak pembinaan namun, yakin dapat mengatasinya dan menyambung kerja pembinaan secepat mungkin.


"Kebanyakan bahan pembinaan juga diperoleh dari pasaran tempatan dan kami tidak berdepan sebarang masalah untuk meneruskan kerja yang tertangguh ini," katanya.


Sementara itu, Zeti berkata, selepas Menara Merdeka 118 ini siap kelak, PNB akan memindahkan operasinya di sana dan memuatkan kakitangan di 17 tingkat.


"Ia juga akan menempatkan empat tingkat dek pemerhatian yang menawarkan pemandangan bandar raya Kuala Lumpur.


"Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun depan," katanya.


Menara Merdeka 118 meliputi lebih tiga juta kaki persegi yang terdiri daripada 1.65 juta kaki persegi ruang pejabat untuk disewakan.


Ia menelan kos pembangunan kasar sebanyak RM5 bilion.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #PNB

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.