top of page

Samaiden raih kontrak loji tenaga suria RM181 Juta


Samaiden raih kontrak loji tenaga suria RM181 Juta
Samaiden Group Bhd (Samaiden)

Samaiden raih kontrak loji tenaga suria RM181 Juta

PETALING JAYA: Samaiden Group Bhd (Samaiden), menerusi anak syarikatnya Samaiden Sdn Bhd (SSB), memperoleh kontrak bernilai RM181.34 juta.


Syarikat tenaga boleh diperbaharui (RE) yang terbabit terutamanya dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sistem fotovoltaik solar (PV) dan loji janakuasa itu berkata, kontrak itu diraih daripada Suria Infiniti Sdn Bhd, sebuah syarikat bersekutu tidak langsung Uzma Bhd, untuk membangunkan loji tenaga solar di Mukim Sungai Petani, Kuala Muda, Kedah.


Uzma Kuala Muda Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Uzma Bhd ialah pemilik loji tenaga solar itu.


Projek itu adalah loji janakuasa solar PV (LSSPV) berskala besar dengan kapasiti 50MWac yang telah diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga menurut program LSS4.


Kontrak yang diberikan kepada SSB dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa hadapan Samaiden sepanjang tempoh projek.


Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir Chow Pui Hee berkata, pihaknya terus menambah pekerjaan kepada perniagaan EPCC syarikat dan pada masa yang sama, meneruskan strategi untuk mempelbagaikan secara geografi di seluruh rantau ini.


"Ini akan membantu meningkatkan prestasi kewangan kami dalam jangka panjang sambil kami memperoleh lebih banyak pekerjaan apabila permintaan untuk TBB semakin meningkat dalam kalangan perniagaan dan kerajaan mengenai keperluan untuk sumber tenaga kos yang lebih rendah serta untuk memenuhi komitmen kemampanan," katanya di sini hari ini.


Pendapatan Samaiden bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023 telah meningkat sebanyak 29.37 peratus kepada RM125.56 juta daripada RM97.05 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya (9M TK2022).


Dalam pada itu keuntungan sebelum cukai telah menurun kepada RM9.48 juta berbanding dengan RM11.62 juta 9MFY2022 disebabkan peningkatan kos kakitangan untuk menampung pengembangan berterusan operasi Kumpulan dan yuran profesional dan perbelanjaan penyenaraian yang ditanggung berhubung dengan pemindahan penyenaraian daripada ACE ke Pasaran Utama pada 31 Mac 2023.


Jumlah buku pesanan tertunggak Samaiden, yang berjumlah RM388 juta setakat hari ini, dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan dalam tempoh tiga tahun akan datang.


Sumber: Berita Harian


Samaiden raih kontrak loji tenaga suria RM181 Juta


11 views

Comments


bottom of page