SAINS, SPAN serbu tapak pembinaan disyaki curi air


KAKITANGAN SPAN menyita sambungan paip air haram di sebuah tapak pembinaan di Bandar Sri Sendayan. - Foto ihsan SAINS

SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) menyerbu sebuah tapak pembinaan di Bandar Sri Sendayan di sini selepas dikesan mencuri air dengan melakukan penyambungan paip secara haram.


Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail, berkata serbuan dijalankan bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada jam 9.30 pagi selepas pihaknya menerima aduan seminggu lalu.


Katanya, pemeriksaan mendapati pihak kontraktor membuat penyambungan secara tidak sah menggunakan paip poly jenis HDPE berukuran 32 milimeter (mm).

“Ujian klorin tapak pembinaan mengesahkan ia adalah air rawatan SAINS. Anggaran kerugian yang ditanggung SAINS akibat penyambungan tidak sah ini melebihi RM19,000.


“Sumber bekalan air melalui penyambungan tidak sah itu adalah untuk kegunaan harian kira-kira 100 pekerja di rumah kongsi, kantin dan bagi mengisi lima tangki simpanan air,” katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan itu di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, Norzita berkata pihak SPAN sudah menyita semua pemasangan paip yang dibuat serta mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada penghuni premis berkenaan.


“Siasatan lanjut mendapati akaun premis terbabit dikenakan pemotongan bekalan pada 10 Julai lalu akibat tunggakan yang tinggi.


“Justeru, kesalahan dikesan mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #SPAN

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.