top of page

Sabah disaran nilai semula projek jejas alam sekitar


Gambar hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah disaran menilai semula pelaksanaan beberapa projek infrastruktur dan perlombongan yang dibimbangi memberi kesan ke atas alam sekitar dan penduduk setempat.


Ia termasuk projek pembinaan Empangan Papar di Papar; perlombongan silika di Pulau Balambangan, Kudat; pembinaan Jambatan Sukau di Kinabatangan; projek Tanjung Aru Eco Development di Kota Kinabalu dan Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.


Perkara itu disuarakan 13 kumpulan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit dalam aktiviti kemasyarakatan dan pemeliharaan alam sekitar di Sabah ketika pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, di sini, semalam.


Wakil NGO terbabit yang juga Pengarah Urusan Earth Innovation Institute, Datuk Darrel Webber, berkata projek berkenaan turut dibimbangi memberi kesan terhadap usaha memelihara hidupan liar di negeri ini.


"Kerajaan Sabah perlu terus melaksanakan polisi yang baik berkaitan alam sekitar dan inisiatif seperti Strategi Biodiversiti Sabah dan Persijilan Meja Bulat Minyak Sawit Mapan (RSPO) untuk kesejahteraan rakyat dan negeri ini.


"Dalam hal ini, kami sedia bekerjasama dengan kerajaan Sabah dalam menyediakan penyelesaian membina dan bimbingan berhubung isu penting membabitkan polisi, aspek sosial, infrastruktur yang dibangunkan secara mapan dan alam sekitar semula jadi," katanya.


Dalam pertemuan itu, Webber turut membangkitkan kebimbangan mengenai penukaran kawasan hutan kepada tanah untuk kegunaan lain dan ketidakmapanan pengurusan Unit Pengurusan Hutan (FMU) khususnya di bawah Yayasan Sabah.


Tambahnya, peningkatan konflik manusia-hidupan liar memberi kesan kepada reputasi Sabah sebagai destinasi perdana berasaskan alam semula jadi.


28 views
bottom of page