Rumah rosak, penduduk tuntut pampasan


KIRA-KIRA 47 keluarga dari Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Kuala Ketil menuntut pampasan daripada pihak Perbadanan PR1MA Malaysia berikutan kerosakan rumah mereka.


Penduduk, Muhammad Nasir Abd Rahman, 31, mendakwa biarpun terdapat rumah yang sudah dibaiki, namun ia tidak mencapai kualiti yang memuaskan.


“Kebanyakan pemilik kediaman tidak berpuas hati terhadap kerja pembaikan oleh kontraktor yang tiada kualiti langsung, kerosakan yang sama masih berulang.


“Beberapa aduan bertulis kepada pihak PR1MA sudah dilakukan memandangkan jaminan pembaikan masih ada.


“Pihak PR1MA berjanji akan melaksanakan kerja pembaikan dengan baik, namun sehingga kini mereka gagal melaksanakan seperti apa yang dijanjikan,” katanya ketika di temui di Sungai Petani, baru-baru ini.


Turut hadir beberapa wakil dari Persatuan Penduduk PR1MA Residensi Utama Sungai Petani dan Persatuan Penduduk PR1MA Desa Aman, Padang Meha Kulim yang turut berhadapan situasi sama.


Penduduk lain, Muhamad Naim Awang Kechil, 44, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM11,000 selepas kabinet dapur rumahnya rosak akibat dimakan serangga anai-anai selain mengalami kerosakan lain seperti lantai rumah retak dan sebagainya.


“Bila aduan dibuat, mereka hanya datang meletakkan ubat serangga anai-anai sedangkan kabinet kami buat sudah rosak teruk dan tiada ganti rugi diberikan.


“Selain itu, rumah saya turut mengalami kerosakan lain seperti lantai rumah di bahagian bilik tidur retak serta kebocoran pada bilik air di bahagian tingkat atas sekali gus membuatkan saya sekeluarga merasa kurang selamat” katanya.


Sementara itu, menurut kenyataan media kepada Harian Metro, PR1MA, melalui kontraktor yang dilantik, sudah memulakan kerja membaiki kerosakan rumah yang terbabit sejak akhir 2018.


“Ekoran banyak aduan daripada penduduk yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor yang dilantik ini, PR1MA membuat keputusan untuk melantik kontraktor baharu untuk mengambil alih tugas membaik pulih rumah yang mengalami kerosakan.


“Kontraktor baharu ini dijangka akan memulakan kerja membaiki kediaman yang terbabit, secara berperingkat, bermula awal April depan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Bagaimanapun, beliau berkata, tiada cadangan daripada pihak PR1MA untuk membayar pampasan terhadap kerosakan yang dialami oleh penduduk.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #PR1MA

51 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.