
MELAKA: Kira-kira 15 keluarga yang tinggal di Jalan Ayer Keroh Permai (AKP) 5 dan Jalan AKP 3 di sini berada dalam keadaan risau dan bimbang akan keselamatan diri ekoran berlakunya keretakan melampau pada struktur rumah dan hakisan tanah di belakang kediaman mereka.
Naib Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Ayer Keroh Permai, Jenny Lee berkata, runtuhan tebing yang dilihat mampu mengundang tragedi itu berlaku secara tiba-tiba dan semakin parah hari demi hari.
Katanya, sejak mendiami kawasan perumahan tersebut pada 2010, majoriti penduduk berdepan dengan masalah rumah retak, namun tidak kritikal.
Jelasnya, masalah mula menjadi serius selepas satu projek perumahan baharu dibangunkan di kawasan berhampiran, sehingga menyebabkan beberapa rumah penduduk menjadi senget dan tidak lagi selamat untuk diduduki.
“Taman ini mempunyai 98 rumah secara keseluruhan. Sejak berpindah masuk pada 2010, memang kita kesan beberapa keretakan kecil pada struktur bangunan, namun tidaklah serius dan aduan sudah dibuat kepada pemaju.
“Namun, sehingga kini tiada tindakan susulan dilakukan pemaju, terbaharu bila berlakunya hakisan tanah mereka cakap itu bukan lagi tanggungjawab mereka, kerana tempoh jaminan selama dua tahun sudah tamat,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee yang hadir melakukan tinjauan berkata, pihaknya sudah memanjangkan perkara tersebut untuk perhatian pihak berwajib seperti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).
“Pejabat saya telah menerima aduan berkenaan masalah ini pada Isnin lalu. Dalam tinjauan ketika itu, saya dapati hakisan yang berlaku belum kritikal. Namun, ia makin teruk hari demi hari dan kita risau akan berlaku runtuhan tebing sekiranya tiada tindakan susulan.
“Saya mohon pihak berkuasa khususnya MPHTJ melakukan siasatan segera. Saya juga ada maklumkan secara terus kepada Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman dan beliau telah memberikan respons positif tentang masalah ini,” katanya.
Sumber: Utusan
Comentarios