top of page

Roboh parkir LRT, pengguna mengeluh tersepit pula saman DBKL


Roboh parkir LRT, pengguna mengeluh tersepit pula saman DBKL Astro Awani www.astroawani.com
Tapak parkir bertingkat yang telah dirobohkan untuk membina bangunan perumahan

WANGSA MAJU: Bercakap soal kemudahan, ia pastinya merupakan salah satu aspek yang menjadi keutamaan buat orang ramai khususnya warga kota.


Mengambil contoh, kemudahan parkir bertingkat di Sri Rampai, dahulunya cukup memberi manfaat buat pengguna pengangkutan awam LRT di kawasan sekitarnya.


Namun kini ia tidak lagi apabila kawasan parkir itu telah menyembah bumi untuk memberi laluan kepada sebuah lagi projek pencakar langit.

Tapak parkir bertingkat yang dahulunya memanfaatkan pengguna LRT kini telah dirobohkan untuk membangunkan lagi projek pencakar langit. - Foto Astro AWANI

Perubahan itu bagaimanapun menjadi pertikaian banyak pihak berikutan pengguna kini terpaksa menanggung beban baharu iaitu berdepan risiko disaman pihak berkuasa akibat kenderaan yang terpaksa diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya.


Persoalannya, ada yang turut mengeluh apabila pihak berkuasa tempatan yang merujuk kepada Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa seolah-olah tidak mengimbangi dari sudut pembangunan dan kemudahan buat orang awam.

Kenderaan menjadi sesak dan terpaksa diletakkan di kawasan tidak sepatutnya

Sememangnya matlamat utama pihak pemaju dimaklumi adalah untuk mencari untung namun dalam masa sama pengguna pula terjerat dengan masalah kekurangan fasiliti.


Menurut salah seorang pengadu, Ahmad Muzammil Idris, kesan kepada projek itu telah mencetuskan kesesakan khususnya penggunaan ruangan yang telah memasuki kawasan kediaman sekitarnya akibat tindakan terpaksa oleh pengguna.


“Saya tak faham jugalah pihak DBKL khususnya perancang bandar, apa yang sebenarnya yang mereka (DBKL) fikirkan sebab bila dah roboh parkir ini kawasan dah jadi sesak dan itulah yang jadi masalah utama.


“Sekurang-kurangnya mereka fikir bagaimana nak gantikan atau buat lot parkir yang baharu untuk kemudahan orang ramai yang gunakan LRT.


“Kita faham tanah ini mungkin milik pemaju tetapi DBKL juga mempunyai kuasa untuk membuat segala penilaian sebelum benarkan apa-apa projek dibangunkan,” katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.


Memahami keluhan warga kota yang keletihan setelah seharian bekerja, tekanan pula bertambah setiap kali pulang apabila melihat saman DBKL yang tertera di cermin kenderaan.


Menurut Izham Zuhairy Ramlee, penguatkuasa pula kelihatan lebih cekap mengeluarkan notis saman berbanding untuk memikirkan apa penyelesaian yang boleh dibuat.


“Kalau tanya sayalah mereka ini (DBKL) macam tak selesaikan masalah tetapi bila soal salah parking, memang laju dia saman.

“Punca masalah itu mereka tak cari dan dari segi penguatkuasaan nak saman memang bagus tapi nak sediakan fasiliti sikit pun tak fikir,” luahnya yang ternyata kecewa.

Meskipun tertera kawasan larangan meletakkan kenderaan namun pengguna tidak mempunyai pilihan

Bukan tidak pernah mengadu, malah ada juga yang telah bersemuka dengan Ahli Parlimen di kawasan tersebut akan tetapi respons yang diterima amat mengecewakan.


Bahkan wujud beberapa isu sebelum ini yang telah disuarakan namun ia didakwa seperti tidak mendapat maklum balas yang positif dari pihak Ahli Parlimen.


Realitinya, isu ini sememangnya wajar mendapat perhatian pihak terlibat melihat kepada kesan yang terpaksa didepani warga kota.


Beberapa nama pihak tertentu sudah pun diseru, Astro AWANI sedang cuba mendapatkan penjelasan pihak terlibat itu pun sekiranya ada yang sudi tampil untuk mengemukakan penjelasan.


Sumber: Astro Awani


15 views

Comments


bottom of page