top of page

RM800,000 projek baik pulih kerosakan cerun, mendapan tanah di Jalan Jerantut-Benta


Tanah runtuh di Kampung Jaya Putra
SEBAHAGIAN jalan Jerantut-Benta yang terputus akibat runtuhan cerun dan mendapan tanah berdekatan Kampung Jaya Putra di Jerantut, Pahang.

Tanah runtuh di Kampung Jaya Putra

LIPIS: Kementerian Kerja Raya memperuntukkan RM800,000 untuk membaik pulih laluan FT64 jalan Jerantut- Benta berdekatan Kampung Jaya Putra di sini yang mengalami mendapan tanah dan runtuhan cerun sejak dua bulan lalu.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan syarikat konsesi dilantik, Pintas Utama sedang melakukan kajian dan penilaian tentang kerosakan itu serta usaha membaikpulih tidak lama lagi.


“Syarikat konsesi dilantik adalah yang bertanggungjawab membaiki runtuhan cerun dan mendapan tanah. Untuk jalan Jerantut-Benta, ia perlu mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan kajian runtuhan cerun ini,” katanya kepada pemberita di sini semalam.


Menurut Abdul Rahman, kerja-kerja membaik pulih dijangka dapat disiapkan dalam tempoh selewat-lewatnya empat bulan lagi dan penduduk boleh menggunakan jalan alternatif disediakan oleh JKR.


“Saya yakin kontraktor yang berpengalaman tentang runtuhan cerun dan mendapan jalan itu mampu menyiapkan kerja dalam tempoh empat bulan untuk kemudahan penduduk berulang alik ke bandar Jerantut dan Lipis di laluan tersebut.


“Kerajaan begitu prihatin dengan kesusahan penduduk Benta dan Lipis ke Kuantan melalui bandar Jerantut terpaksa membuat pusingan di jalan alternatif Kampung Atong – Kerambit – Kuala Tembeling dan bandar Jerantut,” katanya.


Sumber: Utusan


4 views
bottom of page