top of page

RM76 juta untuk dua masjid, bangunan persekutuan di Hulu Terengganu


Rosol (kanan) diberi penerangan Jurutera JKR Daerah Hulu Terengganu, Alif Zuwairi Baharuddin (dua kanan) di tapak projek pembinaan masjid Kampung Langgar, Kuala Berang. - Foto NSTP/Baharom Bakar

KUALA TERENGGANU: Peruntukan kerajaan sebanyak RM76 juta akan disalurkan untuk pembinaan dua masjid dan bangunan Persekutuan di kawasan Parlimen Hulu Terengganu.


Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata dua masjid baharu yang diluluskan adalah Masjid Kampung Langgar di kawasan Dewan Undangan negeri (DUN) Kuala Berang dan Masjid Kampung Jak di DUN Ajil.


Tender untuk pembinaan masjid baharu di Kampung Langgar dan Kampung Jak membabitkan peruntukan keseluruhan RM6 juta akan dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR).



"Setakat ini reka bentuk masjid di Kampung Langgar yang boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah dan masjid di Kampung Jak, yang boleh menampung kira-kira 200 jemaah sudah siap dan pembinaannya dijangka bermula awal tahun depan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sementara itu bagi menempatkan secara berpusat jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di daerah Hulu Terengganu bagi memudahkan urusan rakyat, Rosol berkata, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri sedang membuat penilaian serta kajian terutamanya peruntukan yang dianggarkan melebihi RM70 juta.


"Semua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan di daerah Hulu Terengganu sudah diarah membuat kertas cadangan termasuk keluasan lantai diperlukan.


"Jika projek bangunan usaha sama Persekutuan itu siap, masalah jabatan dan agensi kerajaan yang terpaksa menyewa bangunan persendirian serta menumpang jabatan lain selesai, selain mampu memberi keselesaan kepada penduduk membuat urusan," katanya. Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menjelaskan, kerajaan negeri sudah meluluskan tapak seluas kira-kira 20 hektar bagi membolehkan projek pembinaan bangunan guna sama persekutuan dibina.



3 views
bottom of page