RM6.61b projek rundingan terus diluluskan PH


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pentadbiran negara ketika diterajui Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika mendedahkan perkara itu berkata, perolehan rundingan terus boleh dilaksanakan bagi keadaan tertentu dan menepati beberapa kriteria.


Beliau berkata, antaranya merangkumi perolehan bekalan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang berupaya memudaratkan atau menjejaskan kepentingan negara jika tidak dilaksanakan dengan segera.



"Keperluan penyeragaman bagi memastikan kesesuaian penggunaan antara barangan sedia ada dan yang baharu diperoleh.


"Satu punca bekalan atau perkhidmatan, iaitu pengeluaran produk hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber saja, keselamatan strategi babitkan perolehan demi keselamatan, kontrak daripada Bumiputera yang penuhi syarat kelayakan.


"Dalam perkara ini, kementerian perlu kemukakan permohonan perolehan secara rundingan terus berdasarkan kriteria berkaitan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan kelulusan sebelum perolehan dapat dilaksanakan sebagai langkah kawalan," katanya.


Tengku Zafrul menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bertanya sama ada projek secara rundingan terus ketika pentadbiran terdahulu, ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit COVID-19 2020), di Dewan Rakyat, hari ini.


Butiran berhubung rundingan secara terus yang dilakukan pentadbiran PH, selepas peralihan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu menyebabkan suasana persidangan dewan bertukar kecoh, selain beberapa Ahli Parlimen mendesak supaya senarai projek berkenaan dibentangkan untuk penelitian lanjut.


Di sebalik kekecohan itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilihat tiba-tiba bangun dan meminta kebenaran untuk mengutarakan penjelasan berhubung isu perolehan projek secara rundingan terus ketika pentadbiran PH.


Tindakan beliau mendapat tentangan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan sebarang jawapan atau pencerahan berhubung perkara itu sepatutnya diketengahkan oleh Menteri Kewangan, bukan bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi terbabit, walaupun berada dalam pentadbiran Kerajaan PH sebelum ini.


Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, bagaimanapun memberi kebenaran selama seminit kepada Azmin untuk mengutarakan pencerahan, sekiranya berkaitan.


Tanpa membuang masa, Azmin berkata: "Kita ada Menteri Kewangan yang berikan butiran, bukti yang jelas bahawa di zaman PH pun berlaku perkara sama.


"Jumlah RM6 bilion (projek rundingan terus) dan tidak betul bahawa Bagan (Lim Guan Eng) kata Kabinet tahu, ...mana ada pembentangan senarai-senarai projek rundingan terus itu.


"Bagan tidak pernah bentangkan senarai projek dalam Kabinet ...tidak pernah".


Pencerahan Mohamed Azmin bukan meredakan suasana, sebaliknya ibarat mencurah minyak ke api yang marak sehingga menyaksikan Guan Eng dan beberapa ahli Parlimen daripada DAP bangun mencelah.


Bertindak mengawal keadaan, Azhar mengambil pendekatan tuntas dengan meminta ahli Dewan Rakyat supaya kekal duduk, tenang dan memberikan laluan kepada Tengku Zafrul bagi mengakhiri ucapan penggulungan.


Gagal mematuhi amaran yang diberikan, tahap bertolak ansur Azhar sampai ke kemuncak sehingga menyaksikan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) diusir keluar dewan dan hanya dibenarkan kembali mengikuti persidangan, esok.


Walaupun mendapat pelbagai kritikan dan mengundang kekecohan, RUU Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020, kemudian diluluskan secara undian suara, untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina

47 views

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.