top of page

RM50 juta untuk 32 PBT baik pulih kawasan terjejas banjir


Kerja pembersihan sampah sarap akibat bencana banjir giat dijalankan ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sebanyak 32 pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan yang terjejas banjir menerima peruntukan RM50 juta bagi kerja baik pulih dan pembinaan rumah baharu mangsa yang terbabit.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dana berkenaan turut diperuntukkan kepada PBT terbabit bagi kerja pembaikan infrastruktur, kemudahan awam, sosio ekonomi dan keselamatan.


Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaporkan, sehingga semalam, kerja pembersihan Kuala Lumpur dan Melaka sudah mencapai 100 peratus.


Di Selangor, kerja pembersihan mencapai 82 peratus, Negeri Sembilan (95 peratus) dan Pahang (77 peratus).


"Dianggarkan, sebanyak 53,800 tan sisa banjir sudah diurus menggunakan 2,730 jentera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 dan menerima taklimat status tindakan daripada enam kluster yang ditubuhkan bagi mengurus inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022.


Mesyuarat berkenaan dihadiri Menteri Besar dan Ketua Menteri; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha kementerian; Setiausaha Kerajaan Negeri; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah serta pengurusan tertinggi jabatan dan agensi berkaitan.


Sumber: Berita Harian

10 views

Comentarios


bottom of page