top of page

RM4.15 bilion hutang SRC ditanggung kerajaan



BAKI hutang prinsipal serta faedah pinjaman SRC International Sdn Bhd dengan dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang masih perlu ditanggung kerajaan setakat Mei tahun ini adalah RM4.15 bilion.


Perkara itu dimaklumkan Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan Malaysia, Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam prosiding perbicaraan kes pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


Menurutnya, sehingga kini kerajaan masih membayar hutang pinjaman SRC International dengan KWAP.


“Bayaran akan berterusan sehingga selesai bayaran balik secara penuh bagi prinsipal serta faedah yang wujud atas pinjaman RM4 bilion itu.


“Berdasarkan tempoh pinjaman dalam perjanjian pembiayaan antara SRC International dan KWAP, hutang SRC dengan KWAP akan selesai pada 2022 iaitu dalam tempoh sepuluh tahun dari pembiayaan diberikan pada tahun 2012,” katanya.


Terdahulu, Afidah Azwa dalam kenyataan saksi berkata, akibat kegagalan SRC International membayar hutang kepada kepada KWAP, kerajaan selaku penjamin keseluruhan pinjaman sebanyak RM4 bilion perlu bertanggungjawab untuk membayar semua jumlah pembiayaan serta faedah sepenuhnya.


“Dengan pengalaman saya bertugas di Unit Jaminan Kerajaan di Kementerian Kewangan, kerajaan sering menanggung pembiayaan balik pinjaman yang mana surat jaminan sudah diberikan.


“Antara contoh projek yang mana kerajaan membayar pembiayaan adalah bagi projek infrastruktur sosial seperti KL International Airport Berhad (KLIAB), MRT (Transit Aliran Massa) dan Projek Pan Borneo,” katanya.


Saksi ke-41 itu berkata, bagi projek selain daripada SRC, kebiasaannya Kementerian Kewangan akan bersedia lebih awal kerana tahu perlu menanggung bayaran pembiayaan.


“Ini kerana kebanyakan projek adalah berkaitan infrastruktur yang tidak dapat menjana hasil yang mencukupi untuk membayar hutang tambahan lagi ketika tempoh pembinaan.


“Tetapi bagi SRC International pinjamannya adalah untuk tujuan pelaburan yang sepatutnya memperoleh keuntungan. Namun, kerajaan tidak bersedia dari segi penyediaan peruntukan bagi membayar balik hutang kepada KWAP,” katanya.


Afidah Azwa berkata, ia adalah kerana SRC International lambat memaklumkan yang mereka tidak berupaya membuat bayaran kepada KWAP.


Sumber: Harian Metro


22 views

Kommentare


bottom of page