top of page

RM38 juta laksana projek bekalan air bersih


Gambar hiasan

MARUDI: Penduduk rumah panjang di kawasan Poyut dan Lubok Nibong, di sini bakal menikmati bekalan air bersih menjelang September 2021.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala, berkata projek penyediaan bekalan air bersih itu membabitkan kos kira-kira RM38 juta.


“Tender bagi projek ini sudah diserahkan kepada pihak kontraktor pada 18 Mac lalu dan dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KKLW).


“Keseluruhannya, 32 rumah panjang di Poyut dan Lubok Nibong akan mendapat manfaat daripada pelaksanaan usaha ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Rumah Panjang Mugang, di sini hari ini.


Katanya, Kerajaan Sarawak akan mengambil alih projek berkenaan selepas ia tidak diteruskan oleh Kerajaan Pusat berikutan perubahan kepemimpinan politik negara.


“Ini membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa mengambil serius penyediaan kemudahan asas kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.


“Dengan siapnya projek bekalan air bersih ini nanti, penduduk rumah panjang di kawasan Poyut dan Lubok Nibong tidak lagi perlu bergantung kepada air hujan dan sungai untuk keperluan harian,” katanya.


Beliau berkata, tender untuk projek itu sudah dikeluarkan sebelum ini, namun selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kepemimpinan Pusat, tender projek itu dibatalkan.


“Kita terpaksa mengeluarkan arahan baharu untuk meneruskan pelaksanaan projek ini.


“Jika tender pertama diguna pakai, pelaksanaan projek ini sudah dimulakan dan sekarang kita sudah lewat setahun untuk melaksanakan projek ini,” katanya.



13 views
bottom of page