RM3.6 juta selenggara Lebuhraya Pasir Gudang


Gambar hiasan. Sumber: KKR

PASIR GUDANG - Sejumlah RM3.6 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya Pasir Gudang dalam tahun ini.


Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri berkata, peruntukan itu bagi membolehkan lebuh raya tersebut sentiasa selamat dan selesa digunakan kerana merupakan laluan utama Pasir Gudang ke Johor Bahru.


"Selain kerja-kerja penyelenggaraan pihak syarikat konsesi juga melakukan kerja-kerja rutin seperti tampal bonggol, potong rumput dan bersihkan longkang yang dilakukan secara berkala.


"Lebuh raya ini sentiasa dipastikan selamat contohnya sepanjang Oktober lalu kita sudah melakukan 992 aktiviti menampal jalan dalam masa sehari dan disusuli dengan 1,287 aktiviti penampalan jalan yang dilakukan selama tiga hari," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan wang tunai kepada keluarga arwah Nurul Ain Md Rasol, pembonceng motosikal yang maut dalam kemalangan di Kilometer 34 Lebuhraya Pasir Gudang kelmarin.


Dalam kejadian pada jam 6.45 petang itu, Nurulain, 27, terjatuh selepas motosikal diboncengnya melanggar lubang sehingga menyebabkan mangsa cedera parah di muka dan kepala sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian.


Sumbangan wang tunai tersebut adalah daripada Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd iaitu syarikat konsesi yang menyelenggarakan Jalan Persekutuan di seluruh Johor dan TETO Engineering Sdn Bhd yang menyelenggara jalan negeri.


Mohd Solihan berkata, pada tahun depan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri akan memohon peruntukan khas untuk membaiki struktur lebuh raya berkenaan bagi menjadikannya lebih kuat dan bertambah baik.


Katanya, buat masa ini kerja-kerja menambah baik lebuh raya sepanjang 33 kilometer itu akan dilakukan di beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti termasuk di lokasi kemalangan terbaharu itu.


"Malah pihak Selia Selenggara juga telah melakukan rondaan dua hari sekali bagi meninjau mana-mana bahagian jalan termasuk yang sudah berlubang untuk dibaiki dan tindakan ini akan diambil dalam masa 24 jam.


"Selepas ini, kita minta pihak mereka (Selia Selenggara) melakukan rondaan setiap hari," katanya.


Mengulas mengenai perkembangan Jalan Seelong-Kempas yang masih dalam pembikinan, beliau berkata, pihaknya akan mengenakan denda terhadap kontraktor yang terlibat kerana gagal menyiapkan projek jalan itu mengikut jadual.


Katanya, kerja-kerja pembinaan jalan berkenaan dijangka siap Januari tahun depan selepas tergendala sejak dua tahun lalu sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #Johor

43 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.