top of page

RM27 juta atasi masalah banjir jangka pendek di Pahang


Banjir di Pahang
Gambar hiasan: Antara langkah diambil termasuk mendalamkan sungai dan melebarkan longkang yang menjadi antara punca banjir dan banjir kilat.

Banjir di Pahang

KUANTAN- Pahang akan menggunakan peruntukan RM27 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan beberapa langkah jangka pendek bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.


Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara langkah diambil termasuk mendalamkan sungai dan melebarkan longkang yang menjadi antara punca banjir dan banjir kilat.


Menurutnya, ekoran kejadian banjir penghujung tahun lalu yang turut melibatkan negeri ini, kerajaan negeri telah membawa masalah ini kepada Kerajaan Persekutuan.

"Alhamdulillah, peruntukan bagi mengatasi banjir jangka pendek itu diluluskan dan kerajaan negeri akan menggunakannya sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan Banjir Daerah Kuantan di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pelindung sini pada Khamis.


Wan Rosdy berkata, peruntukkan RM27 juta itu tidak termasuk peruntukan Bantuan Wang Ihsan RM1 juta kepada 802 ketua isi rumah (KIR) mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini.


Sementara itu katanya, kerajaan negeri negeri juga telah memperuntukkan RM47 juta bagi menghadapi banjir di seluruh negeri yang dilaksanakan pada tahun 2022 sehingga 2023.


"Peruntukan itu telah digunakan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di negeri ini termasuk pembelian bot amfibia, pembinaan pusat pemindahan banjir kekal, pembinaan landasan pendaratan helikopter, pembelian instrumen sistem amaran awal banjir, serta pembelian bot menyelamat yang ditempatkan di Pejabat Penghulu.


"Melalui usaha yang dilakukan itu sedikit sebanyak membantu dalam mengurangkan impak dan melancarkan pengurusan bencana itu baru-baru ini," katanya.


Menurutnya lagi, walaupun Pahang turut terjejas namun impaknya tidak seburuk yang berlaku di Kelantan dan Terengganu.


Agihan Wang Ihsan Banjir daerah Kuantan melibatkan 206 KIR dan setiap penerima menerima RM1,000 seperti yang diumumkan.


Semua penerima akan menerima agihan bantuan itu selewat-lewatnya pada 16 Februari 2023.

Selain Kuantan, daerah lain yang terjejas ialah Lipis, Jerantut, Raub, Temerloh, Bera, Kuantan dan Pekan.


Sumber: Sinar Harian


4 views

Comentarios


bottom of page