RM20.03 bilion rumah siap dibina tak terjual


GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Sejumlah 31,661 unit rumah siap dibina bernilai RM20.03 bilion tidak terjual, berdasarkan Laporan Pasaran Harta Tanah, Separuh Tahun Pertama 2020 (H1 2020).


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin berkata, jumlah itu adalah peningkatan 3.3 peratus dalam bilangan dan 6.4 peratus dalam nilai berbanding Separuh Tahun Kedua 2019 (H2 2019) iaitu 30,664 unit bernilai RM18.82 bilion.


Katanya, bagi membendung lambakan rumah termasuk rumah baharu di dalam negara, KPKT sedang melaksanakan beberapa inisiatif baharu seperti membangunkan Sistem Pengurusan Perumahan Bersepadu atau Housing Integrated Management System (HIMS) yang akan menggantikan sistem sedia ada bagi merekod maklumat perumahan.


"Antaranya berkaitan pemajuan perumahan yang ditetapkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 iaitu pengeluaran lesen, kawalan dan pemantauan projek, penguatkuasaan serta pemilikan perumahan di bawah projek perumahan swasta.


Sistem ini dijangka siap pada pertengahan tahun 2021.


"Kita juga melaksanakan Kajian Analitis Data Raya Perumahan yang bertujuan mendapatkan situasi sebenar kedudukan dan ketersediaan data berkaitan sektor perumahan di Malaysia sebelum sebarang platform berkaitan dibangunkan.


"Kajian ini akan mula dilaksanakan pada suku pertama 2021 dan hasil kajian ini akan dijadikan input bagi pembangunan platform pusat pengumpulan data hartanah yang meliputi permintaan dan penawaran untuk membantu Kerajaan Persekutuan dan Negeri membuat keputusan serta penyediaan dasar dan perancangan perumahan negara yang lebih komprehensif," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di parlimen hari ini.


Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) bertanya apakah mekanisme yang akan dilaksanakan kementerian bagi mengawal pemaju daripada berterusan membina projek perumahan yang tidak bertepatan dengan kehendak pasaran serta membendung lambakan rumah baharu di dalam negara.


Zuraida berkata, kelulusan permohonan pembangunan sesuatu projek perumahan yang dimajukan pihak pemaju swasta adalah tertakluk kepada Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Kerajaan Negeri masing-masing.


"Oleh itu, pihak berkenaan bertanggungjawab dalam memastikan perancangan keperluan pembangunan perumahan di negeri masing-masing mengikut permintaan dan penawaran di kawasan berkenaan seterusnya dapat membendung daripada berlakunya lambakan rumah baharu di negeri berkenaan," katanya.


Sumber: Harian Metro

84 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.