top of page

RM180,000 lebarkan jambatan Temerloh


MOHD. ANUAR TAHIR (dua dari kiri) meninjau keadaan jambatan yang bakal dilebarkan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

TEMERLOH 1 April - Bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di jambatan Temerloh, langkah segera diambil untuk melebarkan laluan berkenaan agar melancarkan perjalanan ambulans ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, sebanyak RM180,000 diperuntukkan bagi melakukan pembaikan termasuk membuang pembahagi laluan motosikal.


“Apabila siap kelak, laluan kedua-dua arah masing-masing menjadi dua lorong berban­ding satu lorong pada masa ini mampu membantu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.


“Ini adalah langkah segera sebelum pembinaan jambatan baharu yang pada masa ini masih dalam peringkat kajian,” kata­nya selepas meninjau Jambatan Temerloh di sini baru-baru ini.


Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Pengurusan Fasi­liti Kementerian Kerja Raya, Norhisham Musa; Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jabatan Kerja Raya, Rahmat Abdul Rahman dan Jurutera Daerah, Rosli Othman.


Menurutnya, projek pelebaran jambatan berkenaan yang dimulakan dalam masa terdekat dijangka dapat disiapkan dalam masa sebulan.


Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, dalam memberi keselesaan kepada masyarakat di dae­rah ini, pihaknya akan melakukan penambahbaikan berterusan jalan yang mengalami kerosakan.


“Keutamaan diberikan kepada laluan kritikal bagi dimulakan terlebih dahulu dengan peruntukan awal kira-kira RM3.73 juta,” katanya.



70 views
bottom of page