RM1 juta kepada PBT bina kawasan khas merokok di tempat awam


Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperuntukkan RM1 juta kepada 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi membina kawasan khas merokok di tempat awam.


Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sebanyak RM5,000 akan diperuntukkan kepada PBT yang mengemukakan permohonan kepada kementerian selepas mengenal pasti lokasi pembinaannya.


"Konsep pembinaan kawasan khas merokok untuk PBT adalah sama seperti dua unit perintis dibina di tapak projek Senario Ampang dan Santai@Ampang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 20 Disember lalu.

"Kita menyokong Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap inisiatif larangan merokok tetapi turut prihatin terhadap aduan kesukaran perokok merokok di tempat awam.


"Inisiatif ini juga bagi menjawab pertikaian pihak tertentu yang mempersoalkan keengganan kerajaan menyediakan kawasan khas merokok seperti yang dilaksanakan di negara maju lain," katanya pada sidang akhbar di KPKT hari ini.


Selain itu, Zuraida menegaskan satu garis panduan permohonan pembinaan kawasan khas merokok sudah dirangka kementerian untuk pemilik restoran dan peniaga kedai makan.


Bagaimanapun katanya, peniaga perlu menggunakan modal sendiri dan meletakkan papan tanda 'Kawasan Merokok' dan lokasi itu sekurang-kurangnya tiga meter dari meja makan terdekat tanpa penyediaan makanan atau minuman.


"Kementerian turut mencadangkan kawasan khas merokok dilengkapi struktur berbumbung dan berkanopi. Jika tempat itu melibatkan pembinaan struktur kekal, pemilik premis perlu mendapatkan kelulusan daripada PBT,"katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menegaskan kedai makan atau restoran tidak dibenarkan sama sekali menyediakan ruangan khas merokok kepada pelanggan di premis mereka.


Menurutnya, inisiatif penyediaan ruangan khas merokok hanya dibenarkan di luar lingkungan tiga meter dari premis kedai makan dan restoran di seluruh negara.


Mulai 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan menguatkuasakan larangan merokok di semua kedai makan, gerai makanan, medan selera, food truck dan restoran atas kapal serta kereta api di seluruh negara.


Sumber: Sinar Harian


#EvolusiBina #perumahan #rokok #PBT

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.