top of page

RM1.5j untuk projek perumahan terbengkalai Kuala Kangsar


RM1.5j untuk projek perumahan terbengkalai Kuala Kangsar
Gambar hiasan: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK)

RM1.5j untuk projek perumahan terbengkalai Kuala Kangsar

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyerahkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai bagi memantau dan menyiapkan projek menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan (STP) dan kerja-kerja yang berkaitan di tapak projek Taman Mayang Fasa 2.


Projek Taman Mayang Fasa 2 merupakan salah satu projek yang diisytiharkan terbengkalai pada 28 September 2018 di negeri Perak.


Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, projek perumahan ini terdiri daripada 65 unit rumah teres dua tingkat serta 22 unit rumah berkembar dua tingkat dengan kemajuan keseluruhannya telah mencapai 95% siap.


Namun begitu, projek ini gagal memperolehi Perakuan Siap dan Pematuhan atau Sijil Kelayakan Menduduki (CFO dan CCC) berikutan Loji Rawatan Kumbahan (STP) sedia ada belum mendapat sokongan serta perakuan daripada pihak Indah Water Konsortium (IWK).


Perakuan ini belum diperolehi kerana pihak pemaju gagal menaik taraf loji tersebut ekoran masalah kewangan dan teknikal yang dihadapi oleh pemaju tersebut.


Sehubungan itu, melalui penyaluran peruntukan pemulihan projek perumahan terbengkalai di bawah inisiatif 2023 ini, kerja-kerja menaik taraf loji tersebut dijangka dapat dilaksanakan sehingga keseluruhan projek mendapat Perakuan CFO dan CCC.


Berdasarkan statistik pemantauan pasukan Task Force ini, terdapat lima projek perumahan terbengkalai daripada jumlah keseluruhan iaitu 114 projek direkodkan bagi negeri Perak sehingga 30 Jun 2023.


Lima projek ini melibatkan sebanyak 365 unit rumah dan 298 pembeli yang terkesan.


Justeru, Pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai KPKT akan terus mempergiatkan usaha pemantauan dan pemulihan projek-projek lewat, sakit dan terbengkalai di seluruh negara selari dengan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat.



RM1.5j untuk projek perumahan terbengkalai Kuala Kangsar

7 views

Comments


bottom of page