top of page

Ratusan terkandas laluan di Jerantut dinaiki air


 Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang banjir
Beberapa laluan di Jerantut dinaiki air, ratusan kenderaaan terkandas - Foto NSTP/Amir Hamzah Nordin.

 Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang banjir

JERANTUT : Beberapa laluan di daerah ini dilaporkan dinaiki air dan turut ditutup kepada semua kenderaan mengakibatkan ratusan kenderaan terkandas pada jam 10.30 pagi, hari ini.


Laporan yang dikemaskini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan YP Maintenance Sdn Bhd melaporkan laluan Jalan Sungai Lekok ke Jeransong (Seksyen 8.50) berdekatan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK ) Cina Jeransong dinaiki air sedalam 0.60 meter dan sepanjang 220 meter (m) dan ditutup kepada semua kenderaan.


Selain itu, Jalan Sungai Yap ke Pasir Tambang (Seksyen: 6.5) , berdekatan gelanggan futsal Ulu Retang turut dinaiki air sedalam 0.15 meter dan sepanjang 40m, trend air bertahan dan tidak boleh dilalui.


Turut terjejas, Jalan Ulu Retang ke Merting (Seksyen: 1.0), berdekatan kebun getah turut ditenggelami air sedalam 0.90 meter dan sepanjang 270m, ditutup kepada semua jenis kenderaan, trend air menaik.


Laluan Jalan Kg Rebus ke FELDA Padang Piol (Seksyen 9.0) , laluan turut digenangi air sedalam 0.45m dan sepanjang 80m, ditutup kepada semua kenderaan dan trend air meningkat.


Sementara itu, berikutan kejadian itu, puluhan kenderaan dari dua hala Jalan Jerantut - Lipis terkandas dan terpaksa berpatah balik apabila air melimpah sedalam hampir satu meter pada pagi ini.


Pengguna jalan raya dari Kampung Mela, Mohd Safri Salleh, 42, berkata, dia dalam perjalanan ke tempat kerja ke bandar Jerantut terkandas di laluan berdekatan Kampung Sepial apabila air sudah menenggelami atas jalan raya hampir satu meter.


"Kejadian ini kerap berlaku di laluan ini setiap kali musim monsun timur laut berpunca pertembungan air Sungai Tembeling (Jerantut) dan Sungai Jelai (Lipis) di Kuala Tembeling menyebabkan berlakunya banjir ke kawasan rendah di sini.


"Ketika sampai di laluan ini saya dapati banyak kenderaan berhenti di tepi jalan, saya berasakan air hanya naik sedikit dan masih boleh dilalui tetapi meleset," katanya.


Sumber: Berita Harian


3 views
bottom of page